Beijing: Hanya kerana mahu menjadikannya sebagai ampaian, warga emas di China bertindak memotong tali keselamatan sepanjang 120 meter yang digunakan pekerja ketika melakukan kerja di bangunan tinggi.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, kejadian pada 17 September lalu berlaku ketika pekerja dikenali sebagai Liu sedang membaiki dinding luar sebuah bangunan tinggi di Foshan, wilayah Guangdong.
Liu yang turun dari tingkat 30 menuju ke platform di tingkat dua terkejut apabila mendapati satu daripada tali keselamatannya sudah dipotong dengan sebahagiannya ditinggalkan di situ.
Lebih 10 meter daripada tali sepanjang 120 meter itu dipotong menyebabkan Liu tidak dapat meneruskan perjalanan turun ke tingkat satu, namun bernasib baik kerana tiada pekerja sedang menggunakan tali berkenaan untuk kerja di tempat tinggi ketika ia dipotong.
Siasatan kemudian mendapati tali itu dipotong seorang penghuni berusia lewat 70-an yang tinggal di tingkat dua bangunan berkenaan.
Warga emas itu mendakwa, tidak mengetahui ia adalah peralatan keselamatan atau sedang digunakan untuk kerja di tempat tinggi sebaliknya memotongnya kerana mahu dijadikan tali ampaian pakaian.
Liu menyifatkan, tindakan itu sebagai ‘tidak berfikir panjang’, namun mengambil keputusan tidak membuat laporan polis selepas mengambil kira usia penghuni terbabit.
Selepas berbincang dengan pihak pengurusan bangunan, Liu hanya menuntut pampasan 400 yuan (kira-kira RM240) bagi menggantikan tali yang rosak.
Insiden itu mencetuskan kemarahan di media sosial China apabila hantaran berkaitan meraih lebih 61 juta tontonan dengan seorang pengguna menyifatkan perbuatan itu sebagai ‘cubaan membunuh’.
Peguam, Wang Haogong berkata, tindakan memotong dan mengambil tali itu melanggar hak milik Liu dan pekerja berkenaan boleh menuntut pampasan tambahan menerusi saluran undang-undang sekiranya mengalami kerugian lain termasuk kehilangan pendapatan.
Di bawah undang-undang China, individu berusia 75 tahun ke atas boleh diberikan kelonggaran dalam kes sivil dan jenayah termasuk hukuman lebih ringan manakala tuntutan 400 yuan itu juga berada di bawah nilai minimum untuk lazimnya dianggap sebagai kes kecurian.
Kejadian hampir sama pernah berlaku di Zhengzhou pada 2017 apabila seorang lelaki memotong tali keselamatan pekerja ketika pertikaian mengenai kerja pembinaan sehingga mangsa terjatuh dari tingkat empat dan mengalami beberapa keretakan tulang.
Lelaki itu kemudian disabitkan atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja dan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan yang digantung selama setahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




