Emma akui bukan mudah kekalkan ranking nombor satu

Emma akui bukan mudah kekalkan ranking nombor satu

sukan@hmetro.co.my

Shah Alam: Pemain boling padang wanita nombor satu dunia, Emma Firyana Saroji mengakui sedikit tekanan dirasai menjelang Kejohanan Malaysian Open- The Royal Patron’s Cup yang dijadualkan berlangsung di Kuala Nerus, Terengganu, Oktober depan.

Emma berkata, bukan mudah untuk mengekalkan ‘ranking’ nombor satu dunia kerana pasti ramai pemain yang akan memberi tumpuan kepadanya untuk merebut kedudukan berkenaan.

Katanya, cabaran utama bukan sahaja membabitkan aspek teknikal permainan, malah kemampuan mengawal emosi dan mental ketika berdepan pemain yang mahu membuktikan keupayaan masing-masing.

“Memang menjadi tumpuan. Kalau saya bermain dengan pemain nombor satu pun, mungkin saya akan cuba untuk mengalahkannya.

“Tetapi untuk diri sendiri, saya cuma perlu mengawal keadaan. Kita tahu semua orang akan cuba untuk kalahkan kita dan menunjukkan mereka lebih baik daripada kita.

“Dalam tempoh dua tiga minggu ini, saya akan cuba kawal emosi dan jaga mental kerana kita tahu kita akan berdepan provokasi hebat daripada pemain baharu,” katanya ketika ditemui pada sidang media Malaysian Open – The Royal Patron’s Cup, di sini, hari ini.

Emma berkata, pengalaman beraksi di Sukan Komanwel Glasgow sebelum ini turut menjadi pengajaran penting walaupun gagal mencapai sasaran pingat.

“Di Glasgow, kita menetapkan sasaran pingat tetapi saya tidak berjaya. Walau bagaimanapun, saya rasa keputusan itu masih yang terbaik kerana walaupun tidak berada di podium, saya masih dalam kelompok empat terbaik,” katanya.

Mengulas lanjut, Emma berkata beliau akan beraksi dalam tiga kategori iaitu Women’s Singles; Women’s Pairs dan Mixed Pairs.

Katanya, persiapan bersama jurulatih dan rakan sepasukan berjalan lancar, namun beberapa aspek masih perlu diperbaiki terutama membabitkan penyesuaian dengan keadaan gelanggang di Terengganu.

“Kita bukan bermain di Bukit Kiara, sebaliknya di Terengganu yang sebelum ini mempunyai gelanggang yang agak mencabar, terutama keadaan green (padang).

“Jadi kita perlu mengawal emosi dan mental kerana akan bermain dalam keadaan ‘indoor’ dan ‘outdoor’,” katanya.

Dalam pada itu, Emma mengakui pemain negara mempunyai sedikit kelebihan kerana sudah biasa beraksi di Kuala Terengganu, namun keadaan gelanggang yang melalui proses penambahbaikan perlu diberikan perhatian.

“Sebahagian besar pemain podium dan pelapis memang pernah bermain di Kuala Terengganu. Cuma keadaan tidak akan sama seperti sebelum ini.

“Terengganu sedang membuat persiapan untuk penambahbaikan padang dan apabila kejohanan besar, mungkin ada pelbagai perkara yang berbeza daripada sebelum ini. Jadi mental kita perlu bersedia,” katanya.

Kejohanan Malaysian Open – The Royal Patron’s Cup dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 31 Oktober.

Kejohanan anjuran Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) itu akan disertai lebih 250 peserta termasuk dari luar negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top