Pemergian mengejut dua beradik yatim piatu undang kesedihan

Pemergian mengejut dua beradik yatim piatu undang kesedihan

am@hmetro.com.my

Kangar: Pemergian dua beradik yang maut dalam kemalangan motosikal hari ini mengejutkan ahli keluarga memandangkan kedua-duanya hidup berdikari dan saling bergantung antara satu sama lain sejak pemergian ibu bapa mereka.

Kemalangan di Jalan Kuala Perlis-Changlun berdekatan Bukit Mas, dekat sini, pada 8.25 pagi itu mengorbankan guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Hakimah Zambri, 33, dan abangnya, Ahmad Rifaie, 42.

Bapa saudara mereka, Abd Malik Yahaya, 55, berkata, dua beradik itu adalah anak yang baik, malah dia sama sekali tidak menyangka kunjungan arwah Hakimah ke rumahnya semalam adalah pertemuan terakhir mereka.

“Mereka memang hidup berdikari memandangkan ibu bapa sudah tiada. Bapa mereka meninggal dunia ketika arwah (Hakimah) masih bersekolah rendah, manakala ibu pula meninggal dunia pada 2013.

“Malah, baru semalam juga ahli keluarga sebelah bapa mereka datang menziarahi kedua-duanya di rumah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, hari ini.

Abd Malik berkata, Hakimah dan Ahmad Rifaie terdiri daripada empat adik beradik, namun kini hanya seorang sahaja daripada mereka yang masih hidup selepas abang kedua turut meninggal dunia Disember 2025.

Sementara itu, jurufoto PASTI Al Huda Pauh Putra, Nidzuwan Zainal Abidin, 52, turut berkongsi kesedihan, apatah lagi arwah Hakimah baru sahaja memintanya mencetak semula gambar lama keluarga mereka untuk dijadikan kenangan.

“Saya sering berurusan dengannya untuk merakam gambar program PASTI sejak 2018 dan arwah sangat mudah memberikan kerjasama dalam pelbagai urusan.

“Apabila dapat tahu berita pemergiannya, saya amat terkejut lebih-lebih lagi arwah baru sahaja serahkan gambar lama keluarganya untuk dicetak semula. Sekarang, adik-beradiknya hanya tinggal seorang sahaja,” katanya.

Hakimah berkelulusan Pra Diploma Pengajian Islam dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) mula berkhidmat di PASTI terbabit sejak 2018 dan digambarkan sebagai guru yang mesra pelajar serta menyenangkan rakan sekerja.

Jenazah dua beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semadong, Beseri malam ini.

Dalam kemalangan 8.23 pagi tadi, Hakimah dan Ahmad Rifaie maut selepas motosikal ditunggang mereka kemalangan dengan MPV di laluan menghala ke Changlun.

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top