sukan@hmetro.com.my
Nagoya: Tiada istilah menyimpan tenaga buat bekas juara dunia keirin, Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom apabila kedua-dua pelumba trek negara itu membuka kempen dalam acara pecut individu lelaki di Sukan Asia Aichi-Nagoya, esok.
Jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri berkata, kedua-dua pelumba itu tidak akan memperlahankan kayuhan bagi menyimpan tenaga untuk acara keirin yang menjadi acara pilihan mereka pada Jumaat.
“Kami memang sudah membuat persiapan untuk bertanding tiga hari berturut-turut, jadi ya, mereka akan turun ‘full gas’ dalam acara pecut.
“Kalau kami hanya menunggu untuk acara keirin, ia agak berisiko kerana seperti yang kita tahu, apa sahaja boleh berlaku dalam keirin.
“Kami akan mengambil setiap peluang yang ada dan berharap semuanya berjalan lancar. Apa pun, kami perlu lihat bagaimana pusingan kelayakan esok,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Harnizam, risiko berlakunya kemalangan lebih tinggi dalam acara keirin kerana enam pelumba bersaing serentak berbanding pecut individu yang menyaksikan hanya dua pelumba berentap dalam satu-satu perlumbaan.
Dalam pada itu, Izzah Izzati Asri dan Nur Alyssa Farid turut akan menggalas cabaran negara dalam acara keirin wanita esok.
“Bagi keirin wanita, kami akan mengambilnya satu demi satu. Kami perlu lihat siapa yang akan berada dalam saingan saringan.
“Sasarannya sekurang-kurangnya mara ke final. Kalau dapat seorang pelumba berada di final, itu sudah cukup baik,” katanya.
Pelumba tuan rumah, Mina Sato yang juga juara dunia keirin dua kali dilihat sebagai pilihan utama untuk merebut pingat emas acara berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




