TEHERAN: Iran pada Selasa mengancam untuk menyerang infrastruktur di sekitar Asia Barat, meningkatkan retoriknya ketika menunggu jawapan rasmi Washington berhubung cadangan baharu untuk membuka semula Selat Hormuz.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sudah menolak cadangan dari Tehran itu tetapi Menteri Luar Iran berkata pada Isnin bahawa beliau menjangkakan jawapan rasmi daripada pegawai AS dalam tempoh terdekat.
Ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf pada Selasa mengancam serangan baharu, dengan berkata tiada infrastruktur di rantau itu akan selamat sekiranya keselamatan negaranya tidak dijamin.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Di rantau di mana kami tidak boleh menjual minyak, tiada pihak lain juga akan menjual minyak; atau jika keselamatan kami tidak dijamin, tiada infrastruktur akan kekal selamat,” kata Ghalibaf, yang juga Speaker Parlimen Iran, menurut video yang disiarkan televisyen kerajaan.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, beliau menjangkakan jawapan rasmi daripada AS pada Selasa berhubung cadangan Tehran, lapor media kerajaan.
Iran mengekalkan sekatan terhadap perkapalan komersial melalui Hormuz sejak perang bermula pada akhir Februari dengan serangan AS-Israel terhadap republik Islam itu.
Laluan perkapalan berkenaan membawa satu perlima daripada minyak dan gas asli cecair dunia sebelum konflik bermula.
Tentera AS mengekalkan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran dalam usaha menghalang Tehran daripada mengeksport minyak. – AFP




