El Nino: Negara bakal berdepan cuaca panas, kering, jerebu hingga April

El Nino: Negara bakal berdepan cuaca panas, kering, jerebu hingga April

PETALING JAYA: Malaysia ber­depan risiko cuaca lebih panas dan kering serta peningkatan ancaman jerebu apabila feno­mena El Nino dijangka te­rus menguat sehingga April 2027.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, fenomena berkenaan dijangka memberi kesan terhadap corak cuaca negara, termasuk pengurangan taburan hujan di beberapa kawasan.

“Keadaan itu berpotensi meningkatkan risiko kekura­ngan bekalan air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu sekiranya keadaan kering berterusan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Fenomena El Nino dijangka mula mempengaruhi cuaca negara dan mungkin berterusan sehingga Mac 2027,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, lebih membimbangkan apabila pengurangan hujan dijangka berlaku di Sabah dan sebahagian Semenanjung Malaysia pada awal tahun depan, manakala suhu maksimum harian dijangka meningkat terutama pada Mac dan April.

Situasi itu boleh menyebabkan tempoh cuaca panas dan kering berlarutan, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran terbuka, kebakaran hutan dan tanah gambut yang berpotensi menyumbang kepada pembentukan jerebu.

MET Malaysia sebelum ini turut memberi peringatan bahawa cuaca panas dan kering susulan El Nino boleh meningkatkan risiko kekurangan sumber air, kebakaran hutan serta jerebu rentas sempadan.

“Fenomena itu lazimnya menyebabkan keadaan lebih kering daripada biasa di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, berikutan perubahan corak atmosfera dan taburan hujan.

“Bagi Malaysia, kesan El Nino sederhana atau kuat boleh menyebabkan taburan hujan di Sabah dan Sarawak berada di bawah paras purata, manakala Semenanjung turut terdedah kepada keadaan lebih kering terutama bagi tempoh tertentu.

“Keadaan kering yang berpanjangan juga boleh meningkatkan keperluan penggunaan air ketika suhu meningkat, khususnya dalam sektor domestik, pertanian dan kegiatan ekonomi yang bergantung kepada sumber air,” jelasnya.

MET Malaysia kini memperkukuh pemantauan dan penyampaian maklumat cuaca serta menyediakan ramalan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut sehingga tujuh hari, selain ramalan jerebu bagi membantu kesiapsiagaan agensi berkaitan.

Orang ramai turut disaran menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka sepanjang tempoh cuaca panas dan kering. – UTUSAN

Scroll to Top