PETALING JAYA: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu dimuktamadkan terlebih dahulu sebelum penggunaan logo diputuskan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara paling penting ketika ini adalah memastikan wujud kerjasama dan persefahaman kedua-dua pihak bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
Menurutnya, Pas secara prinsipnya lebih selesa menggunakan logo parti itu sendiri namun perkara tersebut tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memuktamadkan kerjasama antara parti.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Kami lebih selesa dengan logo Pas dan apa yang penting ialah kerjasama serta persefahaman.
“Apa juga logo tidak menjadi masalah sekiranya kerjasama untuk PRN Melaka dimuktamadkan terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Ketua Pemuda BN, Datuk Dr.Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya bersedia membuka ruang kepada PN menggunakan logo gabungan itu pada PRN Melaka akan datang.
Beliau berkata, perkara itu boleh dipertimbangkan sekiranya parti komponen PN benar-benar ikhlas dalam usaha penyatuan ummah.
Tuan Ibrahim berkata, Pas akan mengadakan perbincangan dengan rakan komponen PN bagi menentukan logo yang akan digunakan dalam PRN Melaka.
Katanya, keputusan akhir mengenai penggunaan logo akan dibuat selepas segala perbincangan bersama parti komponen PN selesai.
“Pas juga akan berbincang dengan rakan komponen PN bagi memuktamadkan logo dalam PRN Melaka ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Pas berharap Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dapat membenarkan penggunaan logo PN selepas penjelasan diberikan kepemimpinan gabungan berkenaan.
“Kami mengharapkan ROS dapat membenarkan penggunaan logo PN melalui penjelasan Pengerusi dan Setiausaha Agung PN nanti,” katanya.
Sementara itu, sumber berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan mengenai penggunaan logo bagi PRN Melaka memandangkan RoS telah mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa 23 September lalu.
“Setakat ini belum ada sebarang perbincangan malah Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Sebarang keputusan atau perbincangan akan dibuat selepas beliau pulang ke tanah air,” katanya. – UTUSAN




