Lelaki cuba tikam polis dipercayai kemurungan

Lelaki cuba tikam polis dipercayai kemurungan

harisfadli@hmetro.com.my

Kajang: Lelaki didakwa menyerang seorang anggota di pekarangan Balai Polis Batu 9, di sini Sabtu lalu dipercayai mengalami kemurungan sehingga sanggup mengambil tindakan melulu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek berusia 54 tahun itu dipercayai kemurungan akibat masalah keluarga cuba menikam mangsa dalam kejadian jam 12.10 tengah malam.

Menurutnya, suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kajang mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan pagi ini.

“Suspek yang masuk ke kawasan balai seperti ingin membuat laporan polis tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau dari kotak simpanan motosikal dan menikam ke arah kanan perut anggota bertugas.

“Bagaimanapun, anggota terbabit sempat mengelak namun mata pisau terkena tali pinggangnya.

“Suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan yang turut menyebabkan seorang lagi anggota polis yang memberi bantuan cedera pada kedua-dua belah tapak tangan,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Terdahulu media melaporkan seorang anggota polis nyaris maut apabila cuba ditikam seorang lelaki ketika mangsa membuka pintu pagar Balai Polis Batu 9, di sini.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, anggota polis terbabit yang sedang menjalankan tugas didatangi seorang lelaki menunggang motosikal untuk memasuki kawasan balai.

Sumber dilapor berkata, anggota terbabit kemudian membuka pintu pagar sebelum menghampiri lelaki itu bagi bertanyakan tujuan kedatangannya sebelum suspek menyerangnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top