am@hmetro.com.my
BENAR bagai dikata apabila sesebuah kumpulan rock lama menghilang dalam industri muzik tanah air, maka kemunculan semula mereka sememangnya amat dinanti-nantikan.
Begitu keadaan yang berlaku ke atas kumpulan Riyard (nama asal D’Riyadh) dan begitu juga kumpulan Teja bersempena Konsert Rock Selamanya yang berlangsung di Dewan Bandaran Ipoh, Perak, malam Sabtu lalu.
Kedua-dua kumpulan rock ini yang pernah menempa nama pada lewat 80-an dan awal 90-an bersama Abu & Friends berjaya mengembalikan nostalgia era kegemilangan muzik rock kapak apabila mereka bergabung.
Lebih menarik, konsert anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang turut disertai kumpulan Gema Warisan Budaya MBI terbabit dihadiri kira-kira 2,000 peminat terdiri daripada pelbagai lapisan usia.
Konsert percuma selama tiga jam bermula 9 malam memukau penonton termasuk golongan remaja dengan masing-masing mempersembahkan sekurang-kurangnya lima lagu hit yang menggegarkan ruang dewan.
Persembahan malam itu dimulakan dengan kemunculan Gema Warisan Budaya MBI iaitu kumpulan kebudayaan dan muzik rasmi bagi MBI, disusuli dengan persembahan oleh kumpulan Abu & Friends.
Selaku bekas gitaris May, Abu mempersembahkan lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan rock legenda terbabit.
Antaranya adalah Penghuni Kota, Cintamu Mekar Di Hati, Dari Kaca Mata, Sendiri dan Pelayaran.
Selepas itu, pentas bertukar tangan kepada persembahan kumpulan Teja, dengan vokalis Rashid kerap menyelitkan mesej dakwah sebagai selingan antara lima lagu yang dipersembahkan.
Kumpulan dari Ipoh yang ditubuhkan pada 1986 itu mempersembahkan lagu Kenangan Di Taman Cinta, Belayar Dalam Perut Paus, Yang Indah Tak Mudah, Kau Yang Tak Mengerti dan Jelingan Manja.
Sepanjang persembahan Teja, peminat turut menyanyi bersama Rashid dengan vokalis itu sempat menyelitkan dakwah dalam setiap lagu nyanyiannya.
Antaranya mengaitkan lagu Belayar Dalam Perut Paus dengan sirah Nabi Yunus AS diselamatkan walaupun selepas ditelan ikan paus selama 40 hari, selain lagu Jelingan Manja yang dikaitkan dengan saat manusia menghampiri kematian.
Saat yang ditunggu akhirnya tiba apabila pentas bertukar tangan kepada kumpulan Riyard yang berasal dari Gopeng. Ini adalah kemunculan semula Ustaz Akhil Hayy bersama Riyard selepas hampir 38 tahun ‘berehat’.
Akhil yang muncul bersama Jefrie Lee (gitar) selaku anggota asal, selain dua anggota baharu.
Ternyata Akhil yang sebelum ini dikenali dengan imej suara nyaring dan sarung tangan putih masih mampu menyampaikan lagu dengan baik sehingga mendapat sorakan daripada peminat.
Kumpulan itu pula menyampaikan enam lagu iaitu Dunia Perhitungan, Melodi Cinta Lama, Media 88-89, Hei You, Kutukan Talibarut dan Hanya Ketenangan.
Sebelum menyampaikan lagu terakhir, Akhil sempat memanggil dua bekas ahli asal kumpulan itu yang turut hadir ke konsert berkenaan bagi menzahirkan penghargaan kepada mereka.
Salah seorang dari mereka iaitu pemain dram, Azhari Bahari yang dikenali sebagai EE tampil ke atas pentas dengan bersalaman dan berpelukan bersama Akhil sebelum turun semula ke tempat penonton.
“Saya nak anda semua tahu yang tanpa keberadaan dua anggota asal ini, tiada mereka maka tiadalah saya di sini (sebagai vokalis kumpulan),” kata Akhil di hadapan penonton.
Sebelum menyampaikan lagu Kutukan Talibarut, Akhil sempat berkongsikan pengalaman Riyard mendepani gejala negatif masyarakat seperti rasuah dan penipuan ketika kumpulan itu mencipta lagu berkenaan.
“Ketika kami empat kepala memikirkan untuk mencipta lagu ini, kami mahu supaya pendengar berbalik kepada akar agama, di mana ketika itu aktiviti cetak rompak tengah hebat selain rasuah dan penipu.
“Umpamanya, kami pernah dijanjikan dengan bayaran sekian-sekian untuk membuat persembahan, namun dibayar hanya dalam bentuk pemberian buah-buahan seperti durian dan rambutan,” katanya.
Sejurus sebelum konsert melabuhkan tirai sekitar 12 tengah malam, vokalis daripada empat kumpulan rock itu tampil bersama kumpulan Gema Warisan Budaya MBI dalam mengalunkan sebuah lagu secara bersama.
Usai konsert tamat, peminat tidak melepaskan peluang bertemu dan beramah mesra dengan anggota kumpulan rock berkenaan termasuk bergambar bersama mereka.
Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Komuniti Bandaraya MBI merangkap pengarah program, Romzi Zamri berkata, konsert itu adalah sebahagian daripada Program Melodi Bandaraya MBI dalam menyediakan hiburan berteraskan seni muzik serta memperkukuh perpaduan komuniti.
Menurutnya, ia bertepatan dengan pengiktirafan Bandaraya Ipoh sebagai Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori muzik yang diterima sejak 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd




