am@hmetro.com.my
Melaka: Lelaki berbogel yang ditahan selepas didakwa cuba melarikan dua kanak-kanak berusia 10 dan dua tahun dalam dua kejadian berasingan di Taman Ayer Molek, di sini, malam tadi, direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, suspek, 36, juga didapati positif ganja menerusi ujian saringan awal air kencing serta memiliki satu rekod kesalahan seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Menurutnya, kejadian pertama berlaku kira-kira 8 malam apabila suspek dalam keadaan bogel menyelinap ke dalam kenderaan milik pengadu di pekarangan rumah di Taman Ayer Molek, di sini.
Katanya, pengadu yang terkejut melihat suspek segera meminta anak lelakinya, 10, yang menunggu di dalam kenderaan segera keluar.
“Pengadu kemudian menarik suspek keluar dari kereta berkenaan, namun lelaki itu bertindak agresif dan enggan beredar dari kawasan itu.
“Dalam keadaan cemas itu pengadu terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Halim berkata, dalam kejadian berasingan suami isteri dan anak perempuan, 2, turut terserempak suspek di simpang Taman Ayer Molek.
“Suspek dikatakan cuba merampas telefon milik isteri pengadu sebelum tiba-tiba bertindak memegang anak perempuan mereka.
“Pengadu cuba mendapatkan semula anaknya sehingga berlaku pergelutan dengan suspek sebelum orang awam datang membantu menahannya sehingga pihak polis tiba di lokasi.
“Suspek kemudian ditahan semula oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Melaka Tengah pada 8.20 malam dan pemeriksaan mendapati lelaki itu turut cedera di bahagian kepala,” katanya.
Beliau berkata, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Tiang Dua dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif tetrahydrocannabinol(THC) atau ganja.
Halim berkata, siasatan lanjut mendapati suspek sebelum itu turut memukul seorang guru silat dengan botol kaca hingga cedera di muka dan kepala di Kampung Ayer Molek.
“Kejadian disedari anak perempuan mangsa yang juga pengadu selepas terdengar jeritan bapanya dari belakang rumah kira-kira 7.30 malam.
“Pengadu bersama ahli keluarga kemudian mendapati bapanya berusia 62 tahun diseret keluar dari bilik solat dalam keadaan berlumuran darah di muka dan kepala oleh suspek.
“Pengadu meminta bantuan orang awam yang berada di hadapan rumah, namun suspek terus melarikan diri melalui bahagian belakang rumah,” katanya.
Halim berkata, motosikal dipercayai milik suspek turut ditemui di hadapan rumah mangsa.
Katanya, mangsa memaklumkan dia dipukul menggunakan botol kaca sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 6 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 14(a) AKSTK 2017, Seksyen 324 serta Seksyen 377D Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Nurul Asyikin Rosli di Hospital Melaka kerana suspek sedang menerima rawatan akibat kecederaan dialaminya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




