Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sekali lagi mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang didakwa melebihi peruntukan diluluskan kira-kira RM2.1 bilion.
Penasihat DAP itu mempersoalkan mengapa tindakan boleh diambil terhadap isu melibatkan Universiti Teknologi MARA (UiTM), namun perkara membabitkan KKDW tidak menerima tindakan sama.
Beliau merujuk dapatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa UiTM menyuntik RM259.98 juta ke dalam UiTM Holdings Sdn Bhd antara 2007 hingga 2018 tanpa kelulusan Menteri Kewangan seperti diperlukan di bawah Akta UiTM 1976.
“Sekiranya SPRM tidak mengambil tindakan kepada Ahmad Zahid dan KKDW kerana kedudukan beliau yang tinggi, maka ia amat tidak adil kepada UiTM kerana tidak ada penguatkuasaan undang-undang yang sama rata.
“SPRM harus bertindak dengan tegas dan cepat kepada KKDW dan Ahmad Zahid agar tidak dilihat sebagai mengamalkan siasatan berpilih dan antara dua darjat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata tindakan terhadap KKDW dan Ahmad Zahid perlu bagi mengelakkan kementerian lain mengulangi perkara sama sehingga berpotensi menjejaskan kedudukan kewangan negara.
Kontroversi itu tercetus awal bulan ini selepas Ahmad Zahid membangkitkan isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang sudah melaksanakan projek dan mencapai kemajuan ditetapkan.
Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican menjelaskan tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan projek jalan luar bandar KKDW dan dana berkenaan telah disalurkan sepenuhnya.
Kredit Foto: BERNAMA
Menurut Johan, KKDW membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar sejak beberapa tahun lalu.
Data Kementerian Kewangan menunjukkan perbelanjaan sebenar bagi projek berkenaan ialah RM1.8 bilion berbanding peruntukan RM1.1 bilion pada 2023; RM2 bilion berbanding RM1.3 bilion pada 2024; dan RM2.3 bilion berbanding RM1.6 bilion pada 2025.
Ahmad Zahid bagaimanapun sebelum ini menyangkal dakwaan bahawa kementerian di bawah seliaannya berbelanja melebihi peruntukan diluluskan.
“Tiada sebuah kementerian belanja melebihi yang dinyatakan dalam ucapan belanjawan atau yang telah diperuntukkan,” katanya pada 7 September lalu.
Sumber: FB Lim Guan Eng




