Harga RON97, RON95 tanpa subsidi turun 5 sen, Diesel turun 15 sen mulai esok

Harga RON97, RON95 tanpa subsidi turun 5 sen, Diesel turun 15 sen mulai esok

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing menurun 5 sen seliter, manakala harga runcit diesel tanpa subsidi menurun 15 sen seliter, bagi tempoh 1 Oktober hingga 7 Oktober 2026.

Harga runcit baharu RON97 ialah RM5.00 seliter, RON95 RM4.52 seliter dan diesel RM5.27 seliter.

Kementerian Kewangan berkata, penurunan itu didorong oleh penyederhanaan purata harga minyak mentah dunia dalam tempoh pengiraan formula ‘Automatic Pricing Mechanism’ (APM), susulan penyambungan semula operasi saluran paip East-West Arab Saudi.

Katanya, pada masa sama, bekalan produk petroleum bertapis di Asia menunjukkan tanda pemulihan dan eksport produk petroleum bertapis China pada September dianggarkan melebihi empat juta tan, berbanding purata sekitar tiga juta tan sebulan pada 2025.

Menurutnya, peningkatan bekalan ini membantu mengurangkan sebahagian tekanan terhadap harga produk petroleum serantau.

“Bagaimanapun, pemulihan bekalan global masih tidak sekata. Sebuah lagi loji penapisan utama Russia di Perm terpaksa menghentikan operasi selepas serangan dron Ukraine pada minggu lalu, sekali gus terus mengehadkan bekalan diesel dari Russia ke pasaran antarabangsa.

“Ketidaktentuan harga produk petroleum dijangka berterusan selagi konflik antara Amerika Syarikat dan Iran belum diselesaikan. Sebarang serangan baharu di Asia Barat berisiko memberi tekanan semula kepada harga minyak dan produk petroleum.

“Selain itu, pemulihan kapasiti penapisan global kekal penting bagi mengurangkan tekanan harga dalam jangka sederhana,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya lagi, Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.

Menurut kenyataan itu, pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.52 seliter.

“Ini bermakna, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.53 seliter, bersamaan 56 peratus daripada harga tanpa subsidi.

“Penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.17 seliter, atau 60 peratus daripada harga tanpa subsidi,” katanya.

Kenyataan itu berkata, harga petroleum bersubsidi dikekalkan adalah RON95 (BUDI95) RM1.99 seliter, diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter dan

Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.

“Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.

“Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.

“Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top