am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas hampir tiga dekad mewarnai industri hiburan tanah air, kumpulan New Boyz bakal kembali menerusi Konsert New Boyz Meraung – Live in Singapore pada 5 Disember depan.
Konsert disifatkan bagi mengubat kerinduan peminat terutama di negara jiran terbabit dijangka berlangsung di The Star Theatre, Singapura anjuran MSN Entertainment.
Penganjurannya dibuat berikutan siri konsert sebelum ini membuktikan New Boyz yang dianggotai oleh Tomok selaku vokalis, Jay dan Afiez (gitar), Zack (bass), serta Along dan Ristoe (dram) masih mendapat tempat di hati peminat.
Tomok berkata, konsert berkenaan adalah apresiasi buat peminat di Singapura yang menyokong kerjaya mereka sejak awal kemunculan.
“Selepas dua tahun tidak mengadakan persembahan, kami memilih Singapura untuk mengembalikan nostalgia dan meraikan kesetiaan peminat,” katanya yang mengharapkan kehadiran peminat dari Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Sementara itu, wakil MSN Entertainment, Aynn berkata, konsert berkenaan amat signifikan dengan perjalanan karier kumpulan itu yang sudah bertahan hampir 30 tahun.
“Kami sengaja memilih nama New Boyz Meraung bersempena dengan lagu hit mereka daripada album Akur yang diterbitkan pada 2000.
“Selepas 26 tahun, lagu ini masih relevan dan bakal menjadi salam pengenalan kepada generasi baharu,” katanya.
Selain lagu Meraung, katanya, kumpulan itu bakal mempersembahkan deretan lagu popular era 90-an termasuk Sejarah Mungkin Berulang.
Peminat boleh mendapatkan tiket yang dijual bermula pada harga SGD99 (RM346) sehingga SGD169 (RM591).
Mereka yang mahu pengalaman eksklusif, tiket VIP ditawarkan pada harga SGD259 (RM906) di mana peminat berpeluang menyertai sesi ramah mesra bersama anggota New Boyz selain menerima barangan istimewa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




