hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menerima arahan daripada seorang lelaki warga Bangladesh untuk mengedarkan rokok seludup di pasaran tempatan dengan bayaran ‘lumayan’ RM5,000 sebulan.
Itu tindakan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun yang berperanan sebagai ‘transporter’ sebelum perbuatannya membongkar penemuan rokok tidak bercukai senilai RM739,200 dalam serbuan di Kampung Subang Baru di sini, pagi tadi.
Dalam serbuan Op Taring Alpha 1 kira-kira jam 8 pagi itu, sepasukan polis Bukit Aman merampas 1,350 karton rokok seludup serta menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, menjadikan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM820,200.
Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, serbuan hasil risikan dan pemantauan berterusan ke atas sindiket berkenaan.
Katanya, suspek menjadi transporter berikutan bayaran bulanan yang agak lumayan.
“Hasil soal siasat awal mendapati suspek mendakwa terbabit sebagai penghantar rokok selama kira-kira dua tahun dan menerima bayaran sebanyak RM5,000 sebulan bagi menjalankan aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai ini.
“Suspek juga mendakwa dia menerima arahan daripada seorang lelaki warga Bangladesh mengedarkan rokok berkenaan,” katanya.
Susulan penahanan itu, Mohd Zaki berkata, suspek berserta kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan bagi mengenal pasti dan memutuskan rangkaian pihak yang membekal, menyimpan, mengangkut serta mengedar barangan tidak bercukai.
“Bermula 1 Januari hingga 30 September tahun ini, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan sebanyak 268 serbuan di seluruh negara dengan tangkapan seramai 455 individu atas pelbagai kesalahan.
“Bagi tempoh yang sama, jumlah keseluruhan nilai rampasan yang direkodkan dianggarkan berjumlah RM330,695,346.76,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




