Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam pengurusan Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organisation Malaysia (MERHROM) didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas dua pertuduhan berkaitan pertubuhan tidak berdaftar.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menerusi kenyataan memaklumkan, tertuduh, Zafar Ahmad Abdul Ghani mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] serta memohon dibicarakan.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Menurut JPPM, tindakan pendakwaan dibuat susulan siasatan Bahagian Penguatkuasaan jabatan berkenaan terhadap aktiviti MERHROM di media sosial.
Siasatan itu turut melibatkan kenyataan dan penerbitan oleh tertuduh yang memperkenalkan dirinya sebagai Presiden MERHROM.
“Semakan mendapati MERHROM tidak berdaftar dengan JPPM, manakala tertuduh pula bukan pemegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan berdaftar menggunakan nama tersebut,” menurut kenyataan itu.

JPPM berkata, kertas siasatan berhubung perkara tersebut kemudiannya dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum tindakan pendakwaan diambil.
Dalam pada itu, JPPM menegaskan pihaknya memandang serius sebarang aktiviti pengurusan, pengendalian atau promosi pertubuhan yang tidak mematuhi undang-undang.
Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan juga akan diteruskan bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Pertubuhan 1966 serta peraturan berkaitan.
Sumber: BH Online




