Anggota bomba redah banjir dua kilometer selamatkan 7 sekeluarga

Anggota bomba redah banjir dua kilometer selamatkan 7 sekeluarga

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Tujuh sekeluarga termasuk empat kanak-kanak yang terperangkap akibat banjir kilat di Taman Rashna, Klang diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Ashbar, berkata anggota pasukan penyelamat itu terpaksa berjalan sejauh dua kilometer berikutan paras air yang tinggi dan jentera bomba tidak dapat masuk ke lokasi.

Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7 malam sebelum sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan bergegas ke lokasi.

“Komander operasi melaporkan kejadian banjir sedalam paras pinggang yang mana jentera bomba tidak dapat masuk ke lokasi kerana paras air tinggi.

“Anggota bomba perlu berjalan sejauh dua kilometer untuk ke lokasi kawasan perumahan yang terbabit dengan banjir.

“Semua mangsa termasuk empat kanak-kanak ditemui dan di bawa ke tempat yang selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke pondok dataran tinggi yang selamat dan banjir kilat juga menunjukkan trend menurun.

Terdahulu, media melaporkan beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat kira-kira jam 4 petang tadi.

Berdasarkan perkongsian pengguna aplikasi Threads, banjir kilat dikesan berlaku di sekitar i-City, Seksyen 7; kawasan berdekatan pintu belakang Universiti Teknologi MARA (UiTM); di kawasan lampu isyarat Padang Jawa, Seksyen 16, Shah Alam dan persimpangan lampu isyarat Bukit Raja.

Perkongsian terbaharu di aplikasi berkenaan mendapati beberapa kawasan lain turut dinaiki air antaranya Taman Intan dan Taman Rashna, Klang; Sungai Rasau dan Seksyen U12.

Difahamkan, ketika ini keadaan jalan di sekitar kawasan masih sesak dengan kenderaan berikutan air belum surut sepenuhnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top