Banjir: 8,000 bagasi masih terkandas di Bangkok

Banjir: 8,000 bagasi masih terkandas di Bangkok

Bangkok: Kira-kira 8,000 bagasi masih terkandas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok selepas banjir menjejaskan operasi lapangan terbang itu, dengan pihak berkuasa menjangkakan timbunan berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hingga empat hari susulan penambahan petugas.

Lebih 10,000 bagasi terkumpul antara 26 hingga 29 September selepas banjir menghalang kakitangan Thai Airways daripada hadir bekerja, sekali gus menjejaskan operasi pengasingan dan pengendalian bagasi.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Phiphat Ratchakitprakarn berkata Thai Airways International mampu mengasing dan menguruskan sehingga 2,000 bagasi sehari apabila beroperasi pada kapasiti penuh.

Beliau berkata kira-kira 1,800 bagasi telah diuruskan dan dikembalikan kepada penumpang, manakala kira-kira 8,000 lagi masih menunggu untuk diproses.

“Thai Airways sedang berusaha menangani timbunan bagasi dan penumpang, khususnya penumpang transit yang jumlahnya masih agak ramai,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada Rabu.

Phiphat berkata kerajaan telah menggerakkan bantuan tambahan dengan Tentera Udara Diraja Thailand mengerahkan 100 anggota untuk membantu kerja mengangkat, mengangkut dan operasi pengendalian bagasi lain.

Beliau berkata kerja pengasingan bagasi akan terus dikendalikan kakitangan Thai Airways kerana memerlukan kepakaran khusus, manakala anggota tentera akan memberi tumpuan terutamanya kepada kerja mengangkat dan mengangkut bagasi.

“Pengasingan bagasi memerlukan kemahiran dan kepakaran khusus. Oleh itu, kami menambah tenaga kerja untuk membantu kerja mengangkat dan mengangkut supaya kakitangan Thai Airways dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas yang memerlukan kepakaran mereka,” katanya.

Sementara itu, Thai Airways menggantung sementara penerimaan kargo masuk, keluar dan transit di terminal kargonya di Suvarnabhumi dari 30 September hingga 6 Oktober berikutan banjir yang terus menjejaskan perjalanan kakitangan dan operasi gudang.

Syarikat penerbangan itu turut mengurangkan beberapa penerbangan bagi mengurangkan tekanan operasi dan mempercepatkan usaha menangani timbunan bagasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top