Mesyuarat 25 ADUN fokus khidmat rakyat, bukan isu Istana – Jalaluddin

Mesyuarat 25 ADUN fokus khidmat rakyat, bukan isu Istana – Jalaluddin

Kuala Lumpur: Pertemuan khas bersama 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan malam ini tidak membincangkan sesi menghadap Menteri Besar Datuk Ismail Lasim dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata pertemuan itu sebaliknya lebih tertumpu kepada usaha memastikan semua wakil rakyat blok kerajaan terus komited melaksanakan amanah di kawasan masing-masing, selain memperkukuh parti.

Beliau berkata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengingatkan barisan ADUN berkenaan supaya tidak terkesan dengan perkembangan semasa dan terus mengutamakan khidmat kepada rakyat susulan situasi politik di negeri itu.

“Kita bagi satu naratif, satu petua supaya ADUN, 25 ADUN yang ada ini menjalankan tugas di kawasan masing-masing, perkukuhkan parti dan juga tunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu di Menara Dato’ Onn di sini malam ini.

Jalaluddin berkata pertemuan berkenaan turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top