am@hmetro.com.my
Ayer Keroh: UMNO Melaka akan meneliti senarai nama calon yang akan dikemukakan bahagian parti berkenaan selain MCA dan MIC bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, buat masa ini, semua kepemimpinan UMNO sudah diminta untuk menyerahkan senarai sekurang-kurangnya tiga calon di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibincang serta diperhalusi.
“Calon (PRN) belum lagi, saya baru minta (senarai) nama-nama calon yang boleh dipertimbangkan untuk diperhalusi. Masa banyak lagi ini, kita duduk dulu baru berlunjur,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Melaka di Seri Bendahara, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rais Yasin, serta semua Ketua UMNO bahagian termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pada kebiasaannya senarai nama calon yang dikemukakan akan melalui beberapa tapisan sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.
Katanya, ia kemudiannya akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti untuk diperhalusi sebelum keputusan akhir dibuat.
Ketika ini, UMNO menyandang 18 kerusi DUN, manakala MCA dan MIC masing-masing mempunyai dua dan satu kerusi.
Sementara itu, Ab Rauf berkata, mesyuarat malam tadi turut memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi PRN, termasuk pengaktifan jentera parti di semua peringkat.
Katanya, jentera pilihan raya akan dilancarkan sebelum tarikh penamaan calon bagi memastikan semua bahagian dan kawasan berada dalam keadaan siap siaga.
“Kita akan melancarkan jentera BN mengikut kawasan Parlimen sebelum tarikh penamaan calon, namun saya yakin persediaan sudah dilengkapkan oleh semua ketua UMNO bahagian yang dilihat mengambil tanggungjawab untuk memastikan jentera kita di semua peringkat bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRN tidak lama lagi ini.
“Bagaimanapun, kita tidak memandang ringan persaingan daripada parti lain yang turut menawarkan diri untuk bertanding di semua 28 kerusi DUN, malah UMNO sentiasa bersedia menghadapi seribu satu kemungkinan namun, pastinya kita akan memberi tumpuan untuk mengekalkan 21 kerusi yang kita menangi pada PRN lalu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




