am@hmetro.com.my
Sepang: Kenangan bersama-sama menunaikan ibadah umrah awal bulan lalu menjadi kenangan terakhir dan indah Muhammad Aqil Mohd Yazid bersama kedua iu bapanya yang maut dalam kemalangan jalan raya, Isnin lalu.
Perkara itu dinyatakan Muhammad Aqil, tujuh tahun kepada Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu yang menziarahinya di kediaman keluarga, di Taman Desa Vista, Salak Tinggi, semalam.
Muhammad Aqil adalah anak kepada Allahyarham Mohd Yazid Senin, 44, dan Nur Wajihah Tomaran, 39 yang maut dalam kemalangan berhampiran Desa Pinggiran Putra, Isnin lalu.
Dalam hantaran di Facebook, Aiman Athirah berkata, beliau dimaklumkan Aqil sudah memahami dan menerima berita mengenai pemergian ibu bapanya dan kini berada di bawah jagaan ibu saudaranya, kakak kepada Allahyarham Nur Wajihah yang mesra dipanggil ‘Umi’ oleh Aqil.
“Saya menzahirkan kesedihan Aqil terpaksa meneruskan kehidupan tanpa insan tersayang yang selama ini menjadi tempat bergantung,” katanya.
Aiman Athirah berkata, kunjungan itu bagi menyampaikan sedikit sumbangan dan memberi sokongan kepada keluarga berkenaan.
Katanya, beliau turut menyampaikan sumbangan Inisiatif KASIH RAHMAH (iKR’38) Parlimen Sepang bagi membantu meringankan keperluan Muhammad Aqil dan keluarga penjaganya.
“Keutamaan ketika ini adalah memastikan kebajikan, pendidikan dan keperluan harian Aqil terus mendapat perhatian dan sokongan daripada semua pihak bagi memastikan perjalanan pendidikan dan kehidupan Aqil dapat diteruskan dengan baik,”katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




