Tipu bapa kandung bersama 20 lagi individu RM12.1 juta, lelaki dipenjara 7 tahun 6 bulan

Tipu bapa kandung bersama 20 lagi individu RM12.1 juta, lelaki dipenjara 7 tahun 6 bulan

Singapura: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan semalam selepas memperdaya 21 mangsa termasuk bapa kandung dan rakan-rakannya membabitkan kerugian keseluruhan melebihi 3.8 juta dolar Singapura (kira-kira RM12.1 juta).

Memetik laporan The Straits Times, Sebastian Lim Qian Ji, 33, melakukan kesalahan itu bagi membantu seorang rakannya yang berdepan masalah kewangan dalam perniagaan makanan sejuk beku.

Dia mengaku bersalah pada Ogos lalu atas lapan pertuduhan menipu dan satu kesalahan lalu lintas yang tidak berkaitan.

Sebanyak 26 pertuduhan lain turut diambil kira ketika hukuman dijatuhkan.

Mahkamah dimaklumkan pada Ogos lalu, Lim sudah memulangkan kira-kira 860,000 dolar Singapura (kira-kira RM2.75 juta) kepada beberapa mangsa, menjadikan jumlah kerugian bersih sekitar 2.9 juta dolar Singapura (kira-kira RM9.26 juta).

Dalam prosiding terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Jordy Kay dan Chan Wayde memaklumkan mahkamah bahawa Gerald Lee Hai Rui, 32, meminta bantuan Lim untuk mendapatkan pinjaman daripada rakan-rakannya.

Lee ialah pengarah tunggal syarikat, Geroy yang berdepan masalah kewangan pada awal 2021.

Selepas bersetuju membantu Lee, Lim mula memperdaya beberapa mangsa antara Februari 2021 hingga September 2022.

Pada awal 2022, Lim menipu bapanya yang berusia 59 tahun dengan mendakwa dia terbabit dalam beberapa projek yang memerlukan dana.

Pendakwa raya berkata, Lim mendakwa bapanya akan menerima pulangan menarik sekiranya meminjamkan wang kepada Geroy.

Tanpa menyedari dakwaan itu palsu, bapa Lim kemudian memberitahu tiga rakannya mengenai peluang berkenaan sebelum mereka menyerahkan wang berjumlah 430,000 dolar Singapura (kira-kira RM1.37 juta) kepada bapa tertuduh menerusi beberapa transaksi.

Bapa Lim kemudian menyerahkan wang berkenaan kepadanya.

Dalam kes berasingan, Lim sebelum ini disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dilarang memegang lesen memandu selama dua tahun dari 22 Disember 2022 hingga 21 Disember 2024.

Bagaimanapun, 11 hari selepas tempoh larangan itu berakhir, dia memandu sebuah kereta dan terbabit dalam kemalangan pada 17 November 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top