am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua tokoh korporat adik beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira direman lima hari bagi membantu siasatan kes disyaki bersubahat menyeleweng dan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan kira-kira RM10 juta.
Perintah reman terhadap dua beradik berusia lingkungan 40-an dan 50-an itu sehingga 6 Oktober ini dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama pada penghujung 2020.
SPRM turut menyita 15 kereta mewah, 12 motosikal berkuasa tinggi, lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan serta wang tunai kira-kira RM30,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd




