PUTRAJAYA: Pendidikan dan ilmu semata-mata tidak menjamin pembentukan peribadi dan akhlak yang mulia, sebaliknya mahasiswa perlu diperkukuh dengan keimanan, akhlak, sahsiah, keperibadian dan jati diri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesempatan berada di universiti mesti menjadi asas bukan sahaja untuk mendapatkan ilmu dan pencerahan, tetapi turut membentuk kekuatan dalaman dalam diri mahasiswa.
“Maknanya kesempatan di universiti itu mesti asas bukan saja pakai ilmu dan pencerahan tetapi keimanan, akhlak dan sahsiah.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Tanpa kekuatan dalaman, seseorang boleh mengabaikan permasalahan berkaitan perkara yang hak dan batil serta yang makruf dan mungkar,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2026 di sini hari ini.
Mengambil contoh skandal kewangan yang terdedah ketika ini, Anwar berkata, semua yang terlibat bukan calang-calang sebaliknya terdidik dan mempunyai tahap pendidikan tertinggi.
“Ramai cerdik pandai kita, baca saja skandal yang terdedah mutakhir ini. Baik 1MDB atau Felda atau Tabung Haji. Selalunya yang terlibat itu bukan calang-calang orang, bukan daripada kalangan yang tidak terdidik. Hampir keseluruhannya itu siswa. Ada yang memiliki sarjana (ijazah sarjana) dan PhD (doktor falsafah).
“Maka pendidikan dan ilmu saja tidak menjamin peribadi dan akhlak yang mulia,” katanya.
Katanya, mahasiswa perlu menghayati prinsip ‘menggapai langit, mengakar ke bumi’ seperti yang disebut oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Jelasnya lagi, takrifan mengakar di bumi itu perlu dilengkapi dengan iman, akhlak, sahsiah, keperibadian dan jati diri.
Anwar berkata, jika selepas tiga atau empat tahun berada di universiti masih tidak wujud kesedaran dalam diri mahasiswa untuk membela nasib rakyat serta membetulkan kepincangan dan kerosakan dalam sistem, maka perkara itu perlu diberi perhatian.
Dalam pada itu, Anwar berkata, perlu ada kebangkitan semangat baharu dalam kalangan Generasi Z, termasuk tahap kesedaran yang tinggi dan minat untuk berkhidmat serta membela nasib masyarakat.
“Saya percaya minat untuk khidmat membela nasib, senang dengan kebaikan, benci dengan kebobrokan harus ada di kalangan orang muda,” katanya. – UTUSAN




