zulfaizan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Segelintir netizen dan penyokong mempersoal mengenai ‘perubahan’ masa kecederaan membabitkan aksi Indonesia berdepan Bangladesh dalam saingan Divisyen 1, Piala ASEAN FIFA, hari ini.
Berdasarkan siaran langsung di kaca televisyen, pada asalnya masa kecederaan perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno itu dipercayai diberikan dua minit, namun bertukar menjadi tujuh minit.
Perubahan masa kecederaan itu menjadi antara drama yang tercetus di penghujung perlawanan terakhir Kumpulan A dengan Indonesia berjaya mendapatkan gol pantas pada minit ke-96 dan 97.
Malah, jaringan skuad Garuda yang diledak Mitchell Lee Baker pada minit ketujuh masa kecederaan babak kedua itu memastikan pasukannya muncul juara kumpulan dan meraih tiket ke final.
Berdasarkan beberapa komen di laman media sosial Berita Harian Online dan Harian Metro, segelintir netizen dan peminat bola sepak tanah air meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perkara itu.
Ia kerana jaringan Baker itu turut menyebabkan Harimau Malaya terlepas tiket ke final walaupun berjaya membelasah Singapura 6-0 dalam satu lagi aksi terakhir Kumpulan A.
Pengguna Facebook yang menggunakan akaun, Rashmord Zaire menulis: “Dari dua, tahu perlawanan sebelah sudah habis tiba-tiba lanjut tujuh (minit).”
Amin Solihin pula meninggalkan komen: “Punya la nak pergi final sampai lanjut ‘extra time’, tak pernah tak kelakar.”
Sementara itu seorang lagi pengguna laman media berkenaan menulis: “Nampak sangat la dua minit lajak tujuh minit… Elok la Malaysia tidak payah masuk final.”
Pada perlawanan itu juga, terdapat beberapa situasi masa terbuang termasuk ketika pengadil membuat semakan pada video bantuan pengadil (VAR) selain berlaku insiden pergaduhan kecil pemain kedua-dua pasukan pada penghujung perlawanan.
Perkara itu mungkin akan dijadikan antara alasan mengapa masa kecederaan dilanjutkan hingga tujuh minit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




