am@hmetro.com.my
Putrajaya: Golongan mahasiswa perlu merebut kesempatan di universiti untuk mengasah bukan sahaja ilmu dan bakat tetapi juga akhlak serta sahsiah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa kebanyakan individu yang terbabit dalam salah laku rasuah termasuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB), FELDA dan Tabung Haji (TH) terdiri daripada golongan yang berpendidikan.
Katanya, hampir keseluruhan mereka adalah siswazah, malah ada yang mempunyai kelayakan Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
“Tanpa kekuatan dalaman seperti yang pernah diungkapkan oleh Malik Bennabi, mengenai perjuangan dalaman hati nurani (inner struggle of conscience) yang menginginkan pembaharuan dan perubahan ke arah kebaikan, kita mudah mengetepikan persoalan mengenai apa yang hak dan batil, serta apa yang makruf dan mungkar.
“Maka, pendidikan dan ilmu sahaja tidak menjamin seseorang mempunyai peribadi dan akhlak yang mulia.
“Jika pendidikan selama tiga atau empat tahun di universiti tidak melahirkan kesedaran untuk membela nasib rakyat dan tidak membina keberanian untuk membetulkan kepincangan, kerosakan serta kerosakan dalam sistem, maka sistem itu sendiri tidak akan terjamin,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Dalam ucapannya, Anwar turut menggesa
kebangkitan semangat baharu dalam kalangan Generasi Z dengan tahap kesedaran yang tinggi dan minat untuk berkhidmat, membela nasib rakyat, menyokong kebaikan serta menolak kerosakan.
“Saya harap semangat itu lebih-lebih lagi ada dalam kalangan Tokoh Siswa.
“Apabila kita mengangkat tokoh siswa setiap tahun, kita bukan sahaja mengharapkan pencapaian akademik yang tinggi, tetapi juga semangat, daya juang dan keinginan untuk membawa perubahan serta menyelamatkan bangsa dan negara daripada kerosakan yang terus merosakkan,” katanya.
Terdahulu pada majlis itu, pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Amar Aidid Mohd Zain dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Negara 2026.
Beliau membawa pulang hadiah berjumlah RM5,000, trofi kemenangan serta biasiswa.
Bagi kategori Sinergi Kepimpinan Siswa, Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) diumumkan sebagai pemenang.
ATSN 2026 terus menjadi platform dalam mengiktiraf mahasiswa serta badan pelajar yang mempamerkan kecemerlangan dan berimpak tinggi kepada komuniti dan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




