hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menggerakkan seramai 856 pegawai dan anggota bagi mengawal kelancaran lalu lintas susulan tiga acara berskala antarabangsa yang berlangsung serentak di Lembah Klang, Putrajaya dan Sepang hujung minggu ini.
Tiga acara mega berkenaan adalah perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTDL), Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KL Marathon).
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, berkata, pihaknya sudah membuat persiapan dan perancangan penugasan secara menyeluruh bagi memastikan tahap keselamatan serta aliran trafik sentiasa berada pada tahap optimum.
“Ini sekali gus mengelakkan sistem jalan raya di pusat bandar `lumpuh’.
“Bagi memastikan penugasan dapat dilaksanakan dengan berkesan, bantuan keanggotaan daripada kontinjen luar turut digerakkan bagi memperkukuhkan kekuatan sedia ada. “Bagi LTDL, JSPT mengatur penugasan seramai 16 pegawai dan 146 anggota merangkumi Race Team dan kawalan keselamatan di venue.
“Bagi acara F1 pula, seramai 15 pegawai dan 352 anggota digerakkan secara dua syif, termasuk 130 anggota bantuan dari kontinjen luar bagi melancarkan pergerakan di sekitar litar dan laluan utama ke SIC.
“Bagi acara KL Marathon pula, kami menyediakan kekuatan keseluruhan seramai 327 pegawai dan anggota bagi penugasan pada 3 dan 4 Oktober ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menyentuh mengenai penutupan dan lencongan jalan, Hasbullah menjelaskan bahawa pendekatan yang diambil JSPT adalah secara berperingkat bagi mengurangkan impak kesesakan kepada warga kota.
Bagi acara KL Marathon pada 3 Oktober (Sabtu) membabitkan kategori 5 dan 10 kilometer (km), penutupan jalan akan bermula pada jam 6 pagi.
“Laluan dijangka dibuka sepenuhnya sekitar jam 10 pagi.
“Pada 4 Oktober (Ahad) pula, acara membabitkan kategori 21 km dan 42 km. Penutupan jalan akan bermula seawal jam 2 pagi.
“Bagaimanapun, jalan-jalan yang terbabit akan dibuka semula secara berperingkat sebaik sahaja peserta melepasi laluan berkenaan dan dijangka dibuka sepenuhnya pada jam 11.30 pagi,” katanya.
Bagi LTDL yang membabitkan laluan dari Muar ke Putrajaya, beliau berkata, penutupan jalan tidak dilakukan secara keseluruhan serentak, sebaliknya mengikut pergerakan pelumba (rolling closure).
“Walau bagaimanapun, beberapa laluan di kawasan penamat di Putrajaya akan ditutup sehingga acara selesai dengan laluan alternatif disediakan.
“Dalam pada itu, Hasbullah menasihatkan orang ramai, khususnya mereka yang bekerja syif atau mempunyai urusan penting, supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan pengangkutan awam.
“Bagi acara F1, JSPT amat menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan bas perantara (shuttle bus) yang disediakan penganjur. Hanya pengunjung yang mempunyai pas parkir sah sahaja akan dibenarkan membawa masuk kenderaan ke kawasan SIC,”katanya.
Mengulas mengenai kegusaran awam berhubung akses perkhidmatan kecemasan seperti ambulans ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sebalik penutupan berskala besar ini, beliau memberi jaminan bahawa kenderaan penyelamat kekal menjadi keutamaan polis.
“JSPT sentiasa memantau keadaan trafik. Sekiranya ada kecemasan, orang ramai hanya perlu memaklumkan kepada anggota bertugas di lokasi.
“Anggota kita akan mengambil tindakan segera untuk memberikan laluan dan memudah cara pergerakan kenderaan kecemasan supaya ia tidak terhalang. Aspek nyawa dan kecemasan adalah keutamaan mutlak kita,” katanya.
Pengguna jalan raya turut dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan trafik anggota polis yang bertugas di lapangan demi menjamin pergerakan trafik yang selamat dan teratur sepanjang hujung minggu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




