mohdsyazwan@hmetro.com.my
Bandung: Harimau Malaya mengamuk dengan membelasah Singapura 6-0 pada aksi terakhir Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Si Jalak Harupat, di sini sebentar tadi, namun kemenangan besar itu masih belum cukup untuk membawa Malaysia menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan.
Malaysia dan Indonesia mengumpul jumlah mata yang sama, namun kelebihan perbezaan gol memihak kepada skuad Sang Garuda yang membelasah Bangladesh 9-2 dalam satu lagi aksi Kumpulan A, sekali gus menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Barisan anak buah Tan Cheng Hoe tampil garang sejak awal permainan apabila memperoleh sepakan penalti seawal minit ketiga selepas Fergus Tierney dijatuhkan Ryhan Stewart.
Pengadil dari Korea Selatan, Kim Jing Hyeok kemudian membuat semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum menghadiahkan sepakan penalti kepada Malaysia yang disempurnakan Bergson da Silva untuk membuka jaringan.
Singapura kendalian Gavin Lee hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-14 apabila Song Ui-yong melakukan larian solo sebelum mengelecek pertahanan Malaysia dan melepaskan rembatan, namun Syihan Hazmi muncul sebagai penyelamat dengan menepis percubaan itu.
Seminit kemudian, Arif Aiman Hanapi pula hampir menambah jaringan menerusi rembatan dari luar kotak penalti, tetapi percubaannya sekadar melepasi palang.
Syihan sekali lagi menjadi benteng terakhir Harimau Malaya pada minit ke-20 apabila menafikan rembatan Kyoga Nakamura dari luar kotak penalti, sebelum turut menyelamatkan percubaan Harhys Stewart pada minit ke-33.
Malaysia kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-26 menerusi Stuart Wilkin yang mudah menyudahkan hantaran Manuel Hidalgo selepas pemain itu melakukan gelecekan cantik melepasi tiga pemain Singapura.
Memasuki babak kedua, Harimau Malaya terus mengatur serangan ke kubu lawan bagi mencari lebih banyak gol, namun Singapura turut sesekali mengancam gawang Malaysia menerusi Harhys pada minit ke-52, tetapi percubaannya melambung tinggi.
Singapura kemudian melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Farhan Zulkifli dan Jacob William, namun perubahan itu gagal menghalang Malaysia daripada terus menambah derita mereka.
Bergson sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring apabila meledak gol ketiga Malaysia pada minit ke-62 selepas menyempurnakan hantaran Arif Aiman untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Cheng Hoe kemudian melakukan pertukaran dengan memasukkan Paulo Josue dan Harith Haiqal bagi menggantikan Quentin Cheng serta Fergus Tierney.
Malaysia terus mengukuhkan permainan dengan memasukkan Ubaidullah Shamsul dan Hong Wan bagi menggantikan Manuel Hidalgo serta Stuart Wilkin, sebelum Syahir Bashah turut diberi peluang menggantikan Arif Aiman.
Paulo Josue kemudian menambah gol keempat Malaysia pada minit ke-75 menerusi hantaran Arif Aiman untuk menjadikan kedudukan 4-0.
Memasuki 10 minit terakhir, Harimau Malaya lebih mengamalkan corak bertahan ketika Singapura cuba mengatur serangan untuk mencari gol saguhati.
Namun, Malaysia terus menambah derita lawan apabila Syahir Bashah meledak gol kelima ketika perlawanan berbaki empat minit sebelum tamat.
Bergson kemudian melengkapkan malam gemilang Harimau Malaya apabila menyumbat gol keenam untuk melengkapkan kemenangan 6-0 ke atas Singapura.
Keputusan itu bagaimanapun belum cukup untuk mengubah kedudukan Malaysia apabila Indonesia turut mencipta kemenangan besar 9-2 ke atas Bangladesh, sekali gus muncul juara Kumpulan A berdasarkan kelebihan perbezaan gol.
Malaysia terpaksa berpuas hati di tempat kedua Kumpulan A walaupun turut mengumpul jumlah mata yang sama dengan Indonesia, sekali gus terlepas peluang untuk menamatkan saingan sebagai pendahulu kumpulan.
Harimau Malaya kini akan meneruskan cabaran pada 5 Oktober ini dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Piala ASEAN FIFA 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




