Shah Alam: Remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai mandi bersendirian di tasik buatan di Bandar Botanik, Klang, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.21 petang.
Menurutnya, tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas digerakkan ke lokasi, dengan operasi pencarian turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Shah Alam.
“Mangsa dipercayai mandi bersendirian di tasik buatan itu sebelum rakan-rakannya cuba menyelamatkan mangsa.
“Mayat mangsa ditemukan pasukan PPDA pada kedalaman satu meter menerusi teknik selaman pada 8.21 malam ini,” katanya dalam kenyataan.
Ashrul Riezal berkata, pengecaman mayat dilakukan ibu bapa mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




