am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelbagai produk makanan dan minuman keras bernilai lebih RM1 juta dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Taman Perindustrian Subang, Subang Jaya, hari ini.
Komander Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB)/Perisikan Siasatan Khas (PSK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Zaki Ashar, berkata lima individu turut ditahan dalam Op Taring Alpha 5 pada jam 11.30 pagi.
Katanya, empat daripada mereka ialah warga Myanmar yang dipercayai bertugas sebagai penyelia dan pekerja premis, manakala seorang lagi pengurus premis.
“Bertindak atas maklumat diterima, pasukan operasi memeriksa sebuah premis yang disyaki digunakan sebagai lokasi penyimpanan, penjualan dan pengedaran produk makanan yang tidak memenuhi keperluan serta kelulusan ditetapkan pihak berkuasa.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 118 jenis barangan makanan serta 23 kotak mengandungi pelbagai jenis cecair dipercayai alkohol buatan China yang disyaki tidak bercukai kastam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zaki berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,022,635.20.
Beliau berkata, operasi bersepadu itu dijalankan WCB/PSK Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Katanya, pemeriksaan turut mengesan beberapa ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang berkaitan.
“PKD Petaling mengambil tindakan mengikut Akta Makanan 1983 dan peraturan berkaitan, termasuk mengeluarkan kompaun atas kesalahan pelabelan produk makanan serta kegagalan menyatakan alamat pengimport di Malaysia.
“Semua 118 jenis barangan makanan turut disita untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Zaki berkata, JKDM Selangor mengambil tindakan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 berkaitan cecair dipercayai alkohol yang disyaki tidak bercukai.
Katanya, MBSJ pula mengeluarkan kompaun atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan makanan tanpa lesen selain mengeluarkan notis penutupan premis.
“Polis turut mengambil tindakan terhadap individu yang ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan semua tangkapan berkaitan kesalahan imigresen diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk tindakan lanjut.
“Pengurus premis turut diserahkan kepada JKDM bagi membantu siasatan dan tindakan selanjutnya mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zaki berkata, WCB/PSK Bukit Aman melaksanakan 272 serbuan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga hari ini.
Katanya, seramai 459 individu ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan penyeludupan barangan tidak bercukai, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta operasi berkaitan e-waste.
“Bagi tempoh sama, jumlah keseluruhan nilai rampasan yang direkodkan dianggarkan RM331.72 juta,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




