Bintang muda Bisikan Nafsu ada 'chemistry'

Bintang muda Bisikan Nafsu ada 'chemistry'

FILEM: Bisikan Nafsu

PENGARAH: Riza Baharudin

PENULIS SKRIP: Datuk A Aida

PELAKON: Aniq Suhair, Azeva Natassha, Zul Huzaimy, Aleeza Shadan, Raja Azmi, Watie Sadali, Ezzaty Abdullah, Ameng dan Siti Khadijah Halim.

TAYANGAN: 1 Oktober 2026

ULASAN: Norhayati Nordin

(Ulasan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Selain kes buli, isu semasa yang menjadi perhatian ramai pastinya kisah ‘haruan makan anak’ dan penunggang agama. Itu antara intipati cerita diangkat dalam filem Bisikan Nafsu arahan Riza Baharudin.

Dibintangi pelakon muda dan baharu untuk watak utama iaitu Azeva Natassha sebagai Nadia serta Aniq Suhair (Arisz), dari segi lakonan kedua-duanya mantap kerana mampu membina ‘chemistry’ tersendiri.

Malah, Azeva walaupun masih ‘hijau’ dalam lakonan, tetapi berjaya memainkan emosi berat sebagai wanita yang mengalami trauma akibat insiden hitam dalam hidupnya kerana sikap rakus manusia.

Meneliti skrip ditulis oleh A Aida berdasarkan inspirasi daripada kisah benar yang berlaku dalam kehidupan harian kita, ada mesej yang perlu wanita ambil kira membabitkan cinta dan kasih sayang.

Berkaitan perasaan cinta dan kasih sayang ini, wanita mudah leka, setia tidak kena ‘tempat’ serta kurang berhati-hati. Justeru, dalam Bisikan Nafsu, penonton mungkin boleh lihat dan nilai.

Apa pun, sinematografi filem ini sangat menarik dengan suasana kediaman mewah, kawasan hijau alam semula jadi dan pesisir pantai yang indah. Memang cantik di pandangan mata.

Dari segi babak pula, sebagaimana mengarahkan drama, Riza agak berani memapar ‘scene’ romantis yang seiring dialog diungkap. Babak dalam Bisikan Nafsu memang ‘manis-manis’.

Tidak hanya itu, Zul Huzaimy yang tampil dengan watak ‘Ustaz Romantik’ atau UR, pilihan tepat dibuat oleh A Aida yang memadankan dia beraksi dengan Aleeza sebagai Alyssa dan Watie (watak Aida).

Bisikan Nafsu mengisahkan UR, seorang lelaki berimej baik dan ‘soft spoken’ bersifat talam dua muka serta curang akibat kegagalan mengawal nafsu diri. UR bijak menyusun kata dan manipulasi orang lain.

Alyssa, seorang isteri kuat cemburu dan ‘insecure’ pada dirinya, sangat setia kepada suami. Di mata Alyssa, status UR adalah insan yang sangat baik dan sebagai isteri, dia perlu sentiasa mentaati suami.

Nadia, anak tunggal Alyssa sangat rapat dengan pembantu rumah, Siti, tetapi wanita itu ‘hilang’ secara tiba-tiba tanpa diketahui masalah menimpanya. Nadia cuba menjejaki Siti bersama tunang, Arisz.

Arisz, seorang pencinta setia yang sangat menyayangi Nadia. Dia (Arisz) sentiasa ada di sisi tunangnya dan membantu wanita itu apabila berhadapan masalah dengan ibu dan bapa tiri.

Bagaimanapun, dari segi plot cerita yang berat, didapati Riza sudah berusaha ‘meringankan’ dengan dimuat elemen tertentu, sekali gus menjadikan filem ini lucu ditonton pada babak-babak akhir.

Turut memberi suasana nyaman, filem Bisikan Nafsu ini turut memaparkan pemandangan langit biru berlatarkan laut luas dengan alunan ombak menghempas pantai yang cukup menenangkan.

Apa pun, yang pasti dengan insiden hitam dialami Nadia, mampukah dia bangkit semula membina kehidupan baharu? Apa pula berlaku kepada UR, Alyssa dan Aida, semua teka-teki itu terjawab dalam Bisikan Nafsu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top