nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Melihat Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) dalam keadaan sedih, saya rasa sangat tersentuh hingga menitiskan air mata,” kata ahli fisioterapi, Choo Zhang Hui atau dikenali sebagai Kevin Choo, 31.
Terdahulu, kehadiran Kevin di sisi Tun Dr Mahathir ketika pengebumian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Isnin lalu, tular di media sosial selepas dia dilihat turut menangis.
Berkongsi kisahnya, Kevin berkata, beliau mula bertugas sebagai ahli fisioterapi kepada pasangan itu sejak dua tahun lalu.
“Ketika mula bertugas, ada sedikit rasa segan dan kekok kerana kita tahu siapa mereka. Namun lama-kelamaan, hubungan itu jadi lebih selesa.
“Walaupun pasangan itu sudah berusia, mereka tetap mempunyai semangat yang kuat untuk menjalani rawatan fisioterapi untuk kekal sihat,” katanya.
Menurutnya, pada hari pengebumian Dr Siti Hasmah, beliau bertugas untuk memantau keadaan Dr Mahathir dan membantu apa yang diperlukan dari segi fizikal.
“Seperti yang diketahui, beliau (Dr Mahathir) sedang melalui kehilangan yang sangat besar dalam hidupnya. Walaupun Tun M berkerusi roda dan perlu bantuan oksigen, beliau tetap mahu berada di sana untuk memberikan penghormatan terakhir kepada isterinya.
“Secara peribadi, melihat keadaan itu memang memberi kesan kepada saya. Ia menunjukkan di sebalik figura tokoh besar, beliau juga seorang suami yang kehilangan insan paling penting dalam hidupnya.
“Sebagai petugas kesihatan, saya cuba untuk kekal profesional dan fokus kepada tugas. Namun dalam keadaan seperti itu, kita juga manusia yang mempunyai perasaan,” katanya.
Mengulas mengenai dirinya yang tular menangis di sisi Dr Mahathir, Kevin tidak tidak menyangka perkara itu akan menjadi perhatian orang ramai.
“Ketika itu, saya cuba menjalankan tugas seperti biasa. Sebagai seseorang yang mengenali dan bersama mereka selama beberapa tahun, perasaan itu memang sukar untuk digambarkan.
“Saya cuba menahan emosi tetapi akhirnya air mata tetap keluar dan saya rasa sesiapapun yang berada di situ ketika itu merasakan betapa beratnya suasana berkenaan.
“Sebenarnya, kehilangan Tun Dr Siti Hasmah juga memberi kesan kepada saya. Saya sudah beberapa tahun bersama dan mengenali mereka, jadi beliau bukan sekadar seseorang yang saya jaga sebagai sebahagian daripada tugas,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, jam 9.20 pagi, Isnin lalu.
Kematiannya disahkan anak lelakinya, Tan Sri Mokhzani Mahathir. Jenazah Dr Siti Hasmah selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, petang hari sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




