Jeep Wrangler RM500,000 disita JPJ: Pemilik sudah perbaharui cukai jalan

Jeep Wrangler RM500,000 disita JPJ: Pemilik sudah perbaharui cukai jalan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Ahli perniagaan wanita yang juga pemilik Jeep Wrangler bernilai hampir RM500,000 yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sudah memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan kenderaan berkenaan.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, wanita itu membuat pembayaran bagi memperbaharui LKM pada awal minggu ini.

“Selepas pembaharuan itu dibuat, beliau dibenarkan mengambil semula Jeep Wrangler miliknya semalam,” katanya.

Sementara itu, ahli perniagaan berkenaan menerusi hantaran di TikTok menjelaskan bahawa beliau hanya lewat memperbaharui cukai jalan selama sebulan.

Beliau turut menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya cukai jalan kenderaan berkenaan tidak diperbaharui sejak 2014.

“Saya hanya lewat membayar cukai jalan selama sebulan, namun ada pihak mendakwa saya tidak membayar cukai jalan sejak 2014.

“Saya percaya ada pihak yang sengaja mahu mencetuskan isu,” katanya.

Jeep Wrangler yang dianggarkan bernilai hampir RM500,000 itu disita JPJ menerusi Op Luxury selepas didapati mempunyai LKM yang tamat tempoh.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dilaporkan berkata, kenderaan berkenaan disita di Jalan Taman Tengku Anis, di sini, jam 2.50 petang pada 24 September lalu.

Menurutnya, tindakan diambil selepas pemeriksaan mendapati LKM kenderaan berkenaan sudah tamat tempoh.

JPJ sebelum ini memaklumkan sebanyak 3,790 kenderaan mewah disita di seluruh negara menerusi Op Luxury bagi tempoh Jun 2025 hingga 26 September tahun ini.

Keseluruhan kenderaan yang disita menerusi operasi berkenaan dianggarkan bernilai RM550 juta.

Op Luxury dilaksanakan JPJ bagi mengesan pemilik dan pengguna kenderaan mewah yang gagal mematuhi peraturan jalan raya, termasuk berkaitan LKM dan keperluan dokumen kenderaan yang sah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top