PETALING JAYA: Penyelesaian penstrukturan semula hutang Digital Nasional Berhad (DNB) membuka laluan kepada tiga pemegang saham syarikat telekomunikasi untuk mengambil kira DNB secara ekuiti mulai suku keempat 2026, kata RHB Investment Bank Bank.
Bank pelaburan itu berkata, langkah itu sekali gus meredakan kebimbangan mengenai keperluan suntikan tunai tambahan.
Katanya, penyelesaian proses penstrukturan semula hutang DNB akan memudahkan Kementerian Kewangan keluar sebagai pemegang saham, dengan pegangan satu saham khas dikekalkan.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Ia turut membuka laluan kepada peralihan kepada pemilikan sama rata oleh CelcomDigi Berhad (CDB), Maxis Berhad dan YTL Power International Berhad yang dijangka berlaku pada awal suku keempat 2026.
“Unjuran kami bagi CDB dan Maxis telah mengambil kira kerugian DNB mulai suku keempat 2026, dengan pencairan pendapatan sebanyak dua hingga tujuh peratus bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027, sebahagiannya diimbangi oleh kecekapan perbelanjaan operasi,” katanya dalam firma penyelidikan.
RHB Investment Bank mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor telekomunikasi dengan Telekom Malaysia Berhad (TM), CDB dan OCK Group Berhad (OCK) sebagai pilihan utama.
DNB sebelum ini memaklumkan ia telah menyelesaikan pembiayaan berjangka Islamik bersindiket bernilai RM5.2 bilion, termasuk pembiayaan semula kemudahan kredit pusingan yang dijamin kerajaan dan tamat tempoh pada 26 September lalu.
Bank pelaburan berkata, langkah itu mengukuhkan kedudukan pembiayaan jangka panjang DNB ketika industri memasuki fasa seterusnya rangka kerja rangkaian 5G dwi-rangkaian.
“Butiran mengenai perbelanjaan modal rangkaian dan keperluan pembiayaan DNB masih belum jelas, termasuk rancangan syarikat telekomunikasi untuk memulihkan prestasi DNB.
“Walaupun penstrukturan semula hutang telah meredakan kebimbangan mengenai keperluan pembiayaan jangka panjang serta mengurangkan keperluan suntikan tunai tambahan daripada ketiga-tiga syarikat telekomunikasi/pelabur, butiran mengenai rancangan capex dan komitmen tunai pada masa hadapan masih belum jelas,” katanya.
RHB Investment Bank berkata, ketiga-tiga syarikat telekomunikasi itu masing-masing telah melabur RM879 juta dalam DNB setakat ini, menjadikan jumlah keseluruhan RM2.6 bilion.
Pelaburan itu termasuk dua pusingan suntikan tunai berjumlah RM319 juta dan RM328 juta bagi mengambil alih saham MOF serta pendahuluan pemegang saham berkaitan, terutama untuk memenuhi keperluan modal kerja DNB dan bayaran spektrum.
“Susulan U Mobile keluar daripada rangkaian DNB pada awal Julai, TM turut keluar daripada rangkaian DNB pada 31 Julai lalu, dengan trafik 5Gnya kini disalurkan melalui perjanjian teras berbilang pengendali rangkaian (MOCN) 5G bersama U Mobile.
“Masih belum jelas bagaimana DNB akan menangani kehilangan hasil borong daripada kedua-dua pengguna akses itu.
“CDB pula memaklumkan bahawa ketiga-tiga syarikat telekomunikasi akan memainkan peranan lebih besar dalam menentukan keutamaan strategik dan operasi DNB selepas MOF keluar,” jelasnya. –UTUSAN




