Ipoh: Jenazah dua beradik yang maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan kereta di Jalan Perpaduan, di sini pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Perpaduan pada 6.10 petang tadi.
Elyana Nasuha Ibrahim, 19, dan adiknya, Suhaila, 10 dikebumikan dalam satu liang lahat.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan berkenaan apabila lebih 100 ahli keluarga, sanak saudara dan penduduk setempat hadir memberi penghormatan terakhir.
Terdahulu, jenazah disolatkan di Surau Al-Jamaiyah, Taman Hiburan selepas solat Asar, sejurus selesai proses bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Dalam kejadian 7.40 pagi tadi, motosikal Yamaha EZ ditunggang Elyana Nasuha bersama dua pembonceng kanak-kanak perempuan bertembung dengan sebuah Proton Saga di Jalan Perpaduan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah dilapor berkata, siasatan awal mendapati motosikal berkenaan datang dari Jalan Perpaduan menghala ke Bercham.
“Manakala Proton Saga dari persimpangan sebelah kiri hendak memasuki jalan utama sehingga menyebabkan berlaku pertembungan,” katanya.
Muhammad Najib berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal dan seorang pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi pembonceng dihantar ke HRPB untuk rawatan.
Katanya, pemandu Proton Saga iaitu wanita berusia 19 tahun tidak cedra dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




