Dr Fie, ahli perniagaan sudah bertunang

Dr Fie, ahli perniagaan sudah bertunang

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pempengaruh yang juga bekas isteri penyanyi Nubhan Ahamad iaitu Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 36, melalui detik gembira apabila sah bergelar tunangan kepada seorang ahli perniagaan berstatus duda.

Majlis terbabit berlangsung di kediaman keluarganya di Seremban, Negeri Sembilan, pada 2 Ogos lalu, namun baru hari ini dikongsikan di media sosial beliau.

Berita gembira ini disahkan oleh sumber terdekat Dr Afifah atau Dr Fie yang memaklumkan pasangan ini saling menerima dan mempunyai keserasian antara satu sama lain.

Bagaimanapun sumber terbabit keberatan menceritakan lebih mendalam berkenaan identiti lelaki itu serta perancangan tarikh perkahwinan pasangan ini.

Dia sebaliknya meminta perkara ini diajukan sendiri kepada Dr Fie.

Terdahulu Dr Fie, mencuri perhatian ramai apabila berkongsi gambar berbaju kurung moden putih duduk di atas pelamin kecil sambil menunjukkan cincin di jarinya di media sosial.

Perkongsian ini menerima pelbagai komen dan rata-rata pengikutnya mendoakan agar dia bertemu kebahagiaan selepas berdepan kegagalan dalam perkahwinan pertama.

Dr Fie dan Nubhan mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015. Mereka kemudian bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Disember 2025.

Perkahwinan mereka diserikan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 9, Ahmad Aaffan, 7, dan Afzan Nayille, 4 tahun.

Usaha Harian Metro mendapatkan komen lanjut Dr Fie tidak berjaya apabila talian telefonnya gagal dihubungi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top