Restoran sembunyi minyak masak subsidi dalam plastik hitam

Restoran sembunyi minyak masak subsidi dalam plastik hitam

Melaka: Sebuah restoran makanan Arab di Bukit Baru di sini dikesan menyembunyikan minyak masak bersubsidi dalam plastik hitam yang diletakkan bersama-sama longgokan sampah kering di bilik asrama pekerja di tingkat tiga premis itu dalam serbuan Ops Tiris 4.0 hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata dalam serbuan pada 1.30 petang, sebanyak 230 kilogram minyak masak peket pelbagai jenama bernilai RM575 ditemukan di restoran yang telah beroperasi sejak 2014 itu.

“Serbuan oleh lima anggota penguat kuasa KPDN Melaka hasil aduan dan risikan selama tiga minggu mendapati premis perniagaan milik warga Yaman itu disyaki menyeleweng minyak masak bersubsidi bagi tujuan komersial.

“Minyak masak itu ditemukan selepas premis diperiksa dalam tempoh kira-kira 30 minit dan laluan tangga ke tingkat tiga premis telah diubah suai bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Hazimin berkata siasatan awal mendapati minyak masak peket itu dihantar bersama-sama barangan kering lain menggunakan perkhidmatan kurier dan pesanan didakwa dilakukan oleh ibu pejabat restoran yang beralamat di Kuala Lumpur.

Siasatan turut mendapati bekalan minyak masak itu diperoleh daripada syarikat pembungkusan yang beralamat di Selangor.

Mohd Hazimin berkata penyelia restoran, lelaki warga Yaman berusia 50-an ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan keadaan yang menimbulkan syak munasabah bagi tujuan melakukan kesalahan.

Beliau berkata jika disabitkan kesalahan, boleh didenda sehingga tidak melebihi RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu manakala denda tidak melebihi RM2 juta untuk kesalahan pertama bagi syarikat.

Beliau juga mengingatkan individu atau syarikat supaya tidak sesekali cuba memanipulasi, menyeleweng, atau berurusan dengan barang kawalan tanpa permit dan lesen yang sah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top