Perjalanan lebih tujuh dekad Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali membuatkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah merasakan mereka masih terlalu jauh untuk dibandingkan dengan pasangan berkenaan.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, dia memahami sekiranya ada pihak melihat persamaan antara mereka dari sudut kisah percintaan, namun menganggap perbandingan tersebut terlalu tinggi buat dirinya dan Bella yang baru bakal memulakan kehidupan sebagai suami isteri.
“Saya rasa kami tidak layak untuk dibandingkan dengan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah dan Tun Dr Mahathir. Jauh sekali, satu peratus pun tidak.
“Kalau kita lihat, jasa mereka kepada negara sangat luar biasa. Allahyarhamah merupakan antara doktor wanita terawal yang menjadi inspirasi kepada golongan wanita.
“Begitu juga Tun Mahathir, kalau saya hendak senaraikan satu persatu pencapaian dan jasa beliau kepada negara, terlalu banyak. Malah, sehingga hari ini kita masih menikmati hasil daripada sumbangan beliau,” katanya ketika ditemui pada sidang media Walimatulurus Bella Astillah dan Syed Saddiq, petang tadi.
Kredit Foto: Media Hiburan
Bagi Syed Saddiq, jurang itu bukan hanya melibatkan sumbangan kedua-dua tokoh berkenaan kepada negara, malah perjalanan cinta mereka juga sukar untuk dibandingkan.
Katanya, dia dan Bella baru berada di permulaan fasa kehidupan bersama, sedangkan Tun Dr Mahathir dan Allahyarhamah Siti Hasmah telah melalui pelbagai pengalaman sebagai pasangan selama 70 tahun.
“Saya tahu mungkin ada yang mengatakan perbandingan itu bukan dari sudut sumbangan kepada negara, sebaliknya mengenai kisah cinta. Tetapi dari sudut cinta sekalipun, saya rasa kami masih tidak layak dibandingkan.
“Kami baru nak berkahwin dan menghalalkan hubungan, sedangkan mereka sudah melalui 70 tahun kehidupan bersama, meraikan cinta dan kebijaksanaan bersama selama tujuh dekad.
“Kalau diibaratkan sebuah buku, kami baru hendak mengarang muka surat pertama. Mereka pula mungkin sudah mempunyai sebuah perpustakaan sendiri untuk berkongsi kisah cinta mereka. Bukan satu buku, tetapi sudah beribu-ribu buku,” jelasnya.
Kredit Foto: BERNAMA
Meskipun enggan menyamakan perjalanan mereka, Syed Saddiq mengakui dia dan Bella tetap melihat pasangan berkenaan sebagai antara inspirasi dalam membina rumah tangga.
“Apa yang kami boleh lakukan hanyalah mengambil sedikit sebanyak inspirasi daripada mereka.
“Kalau kami dapat mencontohi walaupun satu peratus daripada kebaikan dan jasa yang mereka sumbangkan, itu pun sudah merupakan satu nikmat yang luar biasa,” kongsinya.
Dalam kesempatan sama, Syed Saddiq turut menitipkan doa buat Allahyarhamah Siti Hasmah dan berharap Tun Dr Mahathir diberikan kekuatan untuk berdepan kehilangan insan yang menemaninya selama puluhan tahun.
“Saya hanya berharap kita terus berdoa agar Allahyarhamah ditempatkan bersama orang-orang beriman di syurga.
“Saya juga berharap kita terus mendoakan supaya Tun Dr Mahathir kembali pulih sepenuhnya. Ini bukan proses yang mudah untuk beliau dan keluarganya.
“Saya berharap dengan doa kita semua serta semangat yang diberikan, beliau akan kembali lebih kuat, insya-Allah,” ujarnya.

Allahyarhamah Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Isnin lalu sebelum dikebumikan di Pusara Negara, Putrajaya.
Sebelum pemergian Allahyarhamah, Syed Saddiq dan Bella sempat bertemu Tun Dr Mahathir serta Siti Hasmah bagi menyerahkan sendiri kad undangan perkahwinan mereka selain mendapatkan petua mengenai kehidupan berumah tangga.
Sumber: Utusan Malaysia




