KPDN rampas 230 kg minyak masak bersubsidi disorok dalam plastik sampah

KPDN rampas 230 kg minyak masak bersubsidi disorok dalam plastik sampah

am@hmetro.com.my

Melaka: Tindakan sebuah restoran makanan Arab dipercayai menyembunyikan 230 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi terbongkar selepas premis itu diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka di Bukit Baru, di sini, hari ini.

Pengarah KPDN Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, minyak masak peket pelbagai jenama itu dianggarkan bernilai RM575 dan ditemukan dalam plastik hitam bersama timbunan sampah kering di tingkat tiga premis berkenaan ketika serbuan pada 1.30 tengah hari itu.

Menurutnya, serbuan dilakukan oleh lima anggota penguat kuasa selepas risikan dibuat selama tiga minggu terhadap premis berkenaan susulan aduan orang awam.

Katanya, hasil serbuan menemukan minyak masak peket dalam plastik sampah berwarna hitam bersama beberapa bungkusan sampah kering di ruang dipercayai tempat tinggal pekerja bagi mengaburi pihak penguat kuasa.

“Siasatan awal mendapati bekalan minyak masak bersubsidi itu dipercayai diperoleh dari luar Melaka menerusi tempahan yang dibuat cawangan restoran berkenaan.

“Pada mulanya pihak restoran itu memaklumkan tempahan dibuat cawangan ibu pejabat, namun semakan lanjut sebenarnya tempahan itu dilakukan restoran berlokasi di Melaka,” katanya.

Menurutnya, bekalan berkenaan dihantar bersama barangan kering lain menggunakan perkhidmatan kurier.

Katanya, kaedah penghantaran itu dipercayai digunakan bagi mengelakkan kegiatan berkenaan dikesan pihak berkuasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bagi tujuan melakukan kesalahan.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama,” katanya.

Dr Mohd Hazimin berkata, KPDN Melaka memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya tidak memanipulasi, menyeleweng atau berurusan dengan barang kawalan tanpa permit dan lesen yang sah.

Katanya, penguatkuasaan menerusi Op Tiris 4.0 Bersepadu akan terus dipergiat bagi membendung ketirisan subsidi negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top