sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 tetap diteruskan hujung minggu ini dengan kategori Maraton Penuh iaitu 42.2 kilometer (km), ASICS Half Marathon (21.1km), IHH 10 dan 5km seperti dijadualkan.
Bagaimanapun, kategori Kids Dash dibatalkan selepas mengambil kira keadaan jerebu ketika ini serta kepentingan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak.
Penganjur KLSCM berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan pihak berkaitan dan mendapat sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku penganjur bersama serta penaja utama, Standard Chartered Malaysia.
Bagi peserta Kids Dash, tuntutan barangan perlumbaan boleh dibuat di Kaunter Informasi di Dataran Merdeka pada 3 Oktober, dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Ibu bapa perlu mengemukakan bib perlumbaan anak masing-masing ketika membuat tuntutan.
Pengarah Projek KLSCM dan Pengarah Dirigo Events, Rainer Biemans berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan jerebu sebelum membuat keputusan berkenaan.
“Kami sentiasa memantau keadaan jerebu dan membuat keputusan sukar ini selepas pertimbangan yang teliti.
“Kami kecewa kerana tidak dapat meneruskan acara Kids Dash, tetapi kami perlu mengutamakan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak berbanding membiarkan mereka berlari dalam keadaan yang kurang sempurna,” katanya.
Pada masa sama, Biemans mengingatkan peserta yang akan menyertai acara lain supaya membuat pertimbangan berdasarkan keadaan kesihatan masing-masing, terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.
“Kami tahu ramai pelari teruja kerana perlumbaan akan diteruskan.
“Bagaimanapun, kami ingin mengingatkan pelari bahawa mereka paling mengetahui keadaan tubuh masing-masing.
“Jika anda mempunyai masalah kesihatan, kami mencadangkan supaya anda mempertimbangkan pilihan dengan teliti sebelum membuat keputusan untuk berlari,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




