Enam sekolah di Melaka Tengah terima kemudahan baharu

Enam sekolah di Melaka Tengah terima kemudahan baharu

asyikin.mat@metro.com.my

Kuala Lumpur: Enam sekolah di Melaka Tengah menerima kemudahan baharu menerusi kerja menaik taraf fasiliti di sekolah berkenaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kemudahan baharu diberikan itu adalah mengikut keperluan sekolah terbabit.

“Bangunan daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin sudah digantikan dengan bangunan baharu empat tingkat.

“Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tuah pula menerima tambahan bilik darjah,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya malam tadi.

Fadhlina berkata, murid-murid di SK Taman Bukit Rambai dan SK Kampung Gelam pula kini mempunyai dewan terbuka berbumbung serta gelanggang serbaguna.

Katanya, SK Paya Rumput dan SK Lereh pula menerima tambahan bilik darjah melalui pembinaan modular dan sistem binaan berindustri (IBS).

“Keperluan setiap sekolah memang berbeza. Ada yang menunggu bilik darjah. Ada perlukan ruang untuk bersukan dan bangunan perlu dibina baharu.

“Kerja kita ialah teliti mana yang perlu didahulukan dan gerakkan sampai selesai. Alhamdulillah, hari ini tujuh projek selesai di Melaka Tengah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top