SEPANG: Isu barisan panjang, kelewatan bas perantara dan kesukaran mendapatkan kemudahan asas dibangkitkan pengunjung Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mendapat perhatian Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Beliau berkata, aduan yang tular dalam media sosial itu perlu dipandang serius khususnya menjelang kemuncak perlumbaan Formula 1 yang dijadual berlangsung esok.
Menurutnya, beliau akan turun meninjau sendiri keadaan di lapangan bagi melihat aliran pergerakan pengunjung selain mendapatkan gambaran sebenar daripada agensi serta petugas yang terlibat.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Formula 1 bukan sekadar acara sukan bertaraf antarabangsa, malah membawa nama Sepang dan Malaysia ke pentas dunia.
“Justeru, apabila terdapat kelemahan dalam aspek mobiliti, pengurusan orang ramai, bekalan air serta aliran keluar masuk pengunjung, perkara tersebut perlu segera diberi perhatian dan ditambah baik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, fokus utama ketika ini adalah memastikan keselamatan, keselesaan dan pengalaman pengunjung sentiasa menjadi keutamaan tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak.
Aiman Athirah berkata, beliau juga telah mendapatkan penjelasan mengenai operasi bas perantara termasuk aspek kapasiti, kekerapan perjalanan, lokasi tumpuan dan pengurusan penumpang pada waktu puncak.
Menurutnya, tindakan pembetulan perlu dilaksanakan segera menjelang kemuncak acara bagi mengelakkan kesesakan yang lebih teruk.
“Antara perkara yang dicadangkan ialah penambahan kapasiti dan kekerapan bas di lokasi yang mengalami kesesakan, pengagihan bas secara dinamik mengikut kepadatan penumpang serta pengukuhan petugas kawalan barisan dan pengurusan orang ramai.
“Saya juga mencadangkan penambahbaikan papan tanda dan maklumat perjalanan, penyediaan air minuman serta kawasan teduh yang mencukupi, selain laluan keluar yang lebih selamat untuk pengunjung,” katanya.
Katanya, pelan khas pengurusan keluar penonton selepas perlumbaan tamat juga perlu dilaksanakan bagi mengelakkan kesesakan besar berlaku serentak.
Jelasnya lagi, Sepang mengalu-alukan dunia namun, pada masa sama beliau mahu pengunjung datang dengan rasa teruja, menikmati pengalaman terbaik dan pulang dengan kenangan yang baik tentang Sepang dan Malaysia.
Tambahnya, pihaknya akan terus berhubung dengan pengurusan SIC, Rapid KL, Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi pengangkutan berkaitan serta Pejabat Daerah Sepang bagi memastikan setiap isu yang dikenal pasti diterjemahkan kepada tindakan dan penyelesaian yang berkesan.
Sejak semalam, media sosial dibanjiri pelbagai perkongsian pengunjung yang mendakwa terpaksa beratur panjang untuk menaiki bas perantara selain berdepan tempoh menunggu yang lama di beberapa lokasi sekitar SIC. – UTUSAN




