‘Tak perlu jadi tok guru ajaran sesat baru letak jawatan’ – Tuan Ibrahim

‘Tak perlu jadi tok guru ajaran sesat baru letak jawatan’ – Tuan Ibrahim

GOMBAK – Sebarang bentuk sokongan, penglibatan mahupun pandangan positif terhadap ajaran New Age Movement (NAM) wajar dipersoalkan, lebih-lebih lagi ia disuarakan oleh individu yang memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kerana fahaman tersebut jelas dengan bercanggah ajaran Islam.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, seseorang itu juga tidak perlu menjadi pengikut atau tokoh ajaran sesat sekalipun untuk dianggap mempunyai kaitan dengan fahaman yang telah difatwakan haram.

“Tak perlu kita jadi tok guru ajaran sesat barulah (kena) letak jawatan. Kita terlibat, menyokong atau memberi pendapat positif ke arah ajaran NAM pun bila fatwa mengharamkannya, pandangan sebegitu dah bercanggah dengan fatwa.

“Bukan soal dia mengajak (sertai) ajaran sesat atau nak tunjukkan keterlibatan atau mengajar, tetapi pandangan-pandangan dia.

“Pada kita iyalah sejauh mana kenyataan-kenyataan itu dilihat bercanggah, ini dibuktikan apabila beliau (Marhamah Rosli) dipanggil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Majlis Konvokesyen Kulliyyah ‘Ulum Islamiyyah Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Jakim mengadakan sesi pertemuan dan ‘tabayyun’ bersama Marhamah susulan dakwaan mengaitkan beliau dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran NAM.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memaklumkan, sesi tersebut turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah (PPA) Jakim dan pihak berkaitan.

Terdahulu, Marhamah memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang menerbitkan atau menyebarkan dakwaan mengaitkan beliau dengan amalan tersebut.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Marhamah menafikan segala tohmahan ke atasnya, selain menuntut pihak terbabit menarik balik penerbitan berkenaan, menghentikan penyebaran dan membuat permohonan maaf serta pembetulan secara terbuka.

Marhamah turut mencabar pihak-pihak berkenaan agar mengemukakan dakwaan tersebut di mahkamah selain menegaskan kesediaannya meletak jawatan jika terbukti bersalah menyesatkan orang ramai.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berpandangan bahawa tiada keperluan Jakim memanggil, menasihati atau memberi teguran kepada Marhamah jika tiada maksud di sebaliknya.

Justeru, beliau menyarankan supaya Marhamah mengakui kesalahan, membuat permohonan maaf, menarik balik kenyataannya dan memperbetulkan segala kesilapan, bukan mencabar desakan meletak jawatan.

“Kalau dia tak terlibat buat apalah Jakim beri nasihat? Bila Jakim panggil dan beri nasihat, bermakna memang ada sesuatu. Kalau orang awam, bagi kita tak kisah.

“Tetapi, ini sebagai Timbalan Menteri Agama, dia sepatutnya jadi rol model. Timbalan Menteri Agama pula, kalau Timbalan Menteri Kewangan tak apalah lagi (dalam nada seloroh),” ujar Tuan Ibrahim.

Scroll to Top