Elak waris 'turun naik' bank, MASFIH gesa penyelarasan tunggal urus aset mangsa banjir di Nepal

Elak waris 'turun naik' bank, MASFIH gesa penyelarasan tunggal urus aset mangsa banjir di Nepal

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH), menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) mewujudkan satu kerangka kerja berpusat dan menyeluruh bagi membantu keluarga 54 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui susulan tragedi banjir kilat serta tanah runtuh di Nepal pada 26 Ogos lalu.

Jurucakap MASFIH, Dr Manivannan Rethinam, langkah itu penting berikutan pengumuman BNM yang bersedia memudah cara bantuan kewangan dan sokongan seperti penangguhan bayaran balik, pengecualian caj, kelonggaran dokumentasi, serta tuntutan insurans dan takaful.

Dr Manivannan berkata, selepas 39 hari berada dalam krisis dan ketidakpastian, MASFIH menghargai keprihatinan BNM.

Bagaimanapun, beliau menegas satu mekanisme penyelarasan tunggal amat diperlukan supaya waris tidak perlu berurusan secara berasingan dengan pelbagai institusi perbankan, syarikat insurans dan pengendali takaful secara bersendirian.

​MASFIH juga memohon moratorium sementara tanpa dikenakan sebarang faedah, bayaran caj lewat, atau penalti bagi semua liabiliti atas nama mangsa yang hilang, termasuk pembiayaan kenderaan, perumahan, dan pinjaman peribadi.

​Selain penangguhan hutang, MASFIH turut meminta diwujudkan mekanisme khas untuk mengenal pasti dan memelihara aset mangsa yang masih hilang, seperti akaun simpanan, e-dompet, pelaburan, skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan polisi insurans supaya tidak terjejas atau luput begitu saja.

​Pihaknya jugh memohon pertemuan rasmi bersama BNM seawal minggu depan dan menyarankan penyertaan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memastikan setiap langkah penyesuaian diambil mengikut kerangka undang-undang yang tepat, terutamanya berhubung status perundangan orang hilang dan kuasa pentadbiran waris.

Dalam masa yang sama MASFIH merayu supaya dapat diadakan pertemuan terus dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi mereka pertemuan itu penting bagi membolehkan waris mendapatkan kepastian pelbagai urusan berkaitan mangsa dari aspek kemanusiaan, kewangan, serta hal ehwal merentasi sempadan berkaitan tragedi berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top