hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang anggota tentera ditahan selepas didapati membawa sepucuk pistol, puluhan butir peluru dan cecair disyaki ketum di kawasan parkir kenderaan sebuah kem tentera di sini, Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Superintendan Lim Chun How dalam kenyataannya petang tadi memaklumkan, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan pasukan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 12.42 tengah malam.
“Hasil semakan mendapati anggota tentera itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan dua kes dadah dan satu kes jenayah,” katanya.
Beliau berkata, anggota tentera terbabit direman lima hari untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
“Tempoh reman suspek berakhir hari ini namun ia dilanjutkan lima hari lagi sehingga 8 Oktober hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




