PM Anwar kunjung SIC, tinjau kawasan pit, hadiri majlis makan malam

PM Anwar kunjung SIC, tinjau kawasan pit,  hadiri majlis makan malam

Sepang: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri sesi kelayakan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), selain meninjau persiapan dan keseluruhan perjalanan perlumbaan itu.

Anwar, yang tiba di litar berkenaan kira-kira 4.50 petang disambut oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, Pengerusi SIC Datin Anita Azrina Abdul Aziz serta kenamaan lain.

Beliau kemudian melakukan lawatan selama 15 minit ke kawasan pit pasukan Mercedes-AMG Petronas.

Selepas sesi berkenaan, Anwar menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan oleh Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa di kawasan paddock.

F1 GP Gulf Air Bahrain di Malaysia bermula semalam dengan sesi latihan bebas pertama dan kedua, diikuti sesi latihan bebas ketiga serta sesi kelayakan hari ini.

Perlumbaan utama sebanyak 56 pusingan itu dijadualkan bermula pada 3 petang esok.

Acara itu menandakan kepulangan F1 ke Sepang selepas sembilan tahun tidak berlangsung di litar berkenaan, dengan perlumbaan terakhir diadakan pada 2017.

Pada Julai, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah F1 GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Okt, susulan persetujuan yang melibatkan F1, FIA serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas acara asal tidak dapat berlangsung di Bahrain, dengan perlumbaan itu dipindahkan ke Sepang susulan situasi serantau.

Kepulangan F1 ke Malaysia adalah susulan perbincangan dan kerjasama yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa dari Bahrain, selain kedua-dua kerajaan.

F1 membuat penampilan sulung di Sepang pada 1999, dengan litar berkenaan menjadi tuan rumah GP Malaysia sehingga 2017.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top