Komitmen terhadap beberapa program yang telah dijadualkan menjadi antara faktor sebahagian besar pimpinan PAS tidak dapat menghadiri pengebumian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 28 September lalu.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, situasi tersebut bukan disengajakan memandangkan beberapa pemimpin utama parti berada di lokasi lain bagi menghadiri program masing-masing ketika berita pemergian Allahyarham diterima.
Malah, beliau sendiri berada di Kelantan ketika itu, selain Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Abdullah yang turut mempunyai komitmen tertentu.
“Kebetulan pada hari beliau meninggal dunia, memang kita akui bahawa sebahagian besar pimpinan PAS mempunyai program tertentu.
“Contohnya, saya sendiri terlibat dalam program di Kelantan begitu juga Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah.
“Oleh itu, ketidakhadirannya memang disebabkan ada program yang tak boleh dielakkan. Bagaimanapun PAS hadir dengan menghantar ketua dewan muslimat dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim selain menyertai tahlil di rumah Dr Mahathir,” katanya.
Kredit Foto: Malay Mail | Shafwan Zaidon
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Kulliyyah ‘Ulum Islamiyyah Zulkifli Muhammad (KUIZM), pada Sabtu.
Menurut Tuan Ibrahim yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, PAS tetap diwakili pada pengebumian tersebut selain turut menyertai majlis tahlil di kediaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Parti itu juga telah menyampaikan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir dan keluarga atas kehilangan Allahyarham.
Mengulas mengenai ketidakhadiran beberapa pemimpin PAS, Tuan Ibrahim berkata, pemergian seseorang berlaku tanpa diduga dan keadaan itu menyebabkan tidak semua pihak sempat hadir sebelum urusan pengebumian dilaksanakan.
“Kadang-kadang kematian ayah tapi anak tak sempat sampai pun kerana kematian itu mengejut. Kita tak boleh tunggu lama-lama sebabnya apabila meninggal dunia, jenazah perlu dikebumikan segera.
“Siapa sempat, sempatlah. Tetapi bukan bermakna kita sengaja tak hadir. Bagi pihak parti sudah rakamkan takziah kepada Dr Mahathir.
“Mudah-mudahan beliau bersabar dengan apa yang berlaku, apa yang penting kita doakan roh Allahyarham Tun Dr Hasmah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan hamba ALLAH yang soleh, insya-ALLAH,” ujarnya.

Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 28 September lalu pada usia 100 tahun.
Pemergian Allahyarham disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir sebelum jenazah disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya.
Sumber: Sinar Harian (Aisyah Basaruddin)




