Pelajar ditemui maut di sekolah di Yong Peng disyaki dibunuh

Pelajar ditemui maut di sekolah di Yong Peng disyaki dibunuh

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, dekat sini, petang tadi.

Mangsa berusia 16 tahun ditemui neneknya yang datang ke sekolah berkenaan selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah kira-kira 5.30 petang.

Menurut sumber, mangsa tinggal dengan neneknya selepas ibunya meninggal dunia, manakala bapa bekerja di Kuala Lumpur.

Katanya, warga emas itu bergegas ke sekolah untuk mencari cucunya sebelum menemui mangsa dalam keadaan terbaring dan lemah.

“Terdapat kesan darah kering ditemukan pada badan mangsa selain lebam seolah-olah dipukul. Selain itu turut ditemukan pasu pecah berdekatan mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian.

“Polis sedang menyiasat kejadian ini sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai termasuk pelajar sekolah terbabit dilihat berkumpul di luar pagar bagi mengetahui perkembangan kejadian.

Pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor juga kelihatan berada di dewan sekolah untuk melakukan siasatan.

Pintu masuk utama sekolah dikawal ketat dan tiada pihak yang tidak berkenaan dibenarkan masuk.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top