am@hmetro.com.my
Alor Setar: Hasil padi musim 1/2026 dijangka menyusut susulan keadaan sawah yang dipenuhi air akibat hujan selain tanaman rebah kerana angin kuat.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, berkata keadaan itu menyebabkan hasil ketika ini dianggarkan kira-kira hanya 1.5 tan bagi serelung (0.3 hektar) atau kira-kira lima hingga 5.5 tan sehektar.
Beliau berkata, ketika ini kira-kira 30 peratus kawasan tanaman di Kedah dan Perlis sudah dituai dan proses penuaian dijangka memuncak bulan ini.
“Musim tuaian kali ini memang berair, padi pun ada yang rebah dan keadaan sawah yang lembap serta berair ditambah angin kuat menjadi antara faktor menyebabkan banyak tanaman rebah.
“Dari segi hasil pula, purata kira-kira 1.5 tan bagi serelung dan tidak ramai yang dapat dua tan. Tahap yang lebih selamat untuk padi adalah dua tan serelung atau kira-kira tujuh tan sehektar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam kenyataan memaklumkan, aktiviti penanaman padi Musim 1/2026 bagi keseluruhan keluasan kawasan MADA iaitu sebanyak 100,641 hektar kini berada di fasa akhir berbunga dan menuai.
Menurut lembaga itu, setakat 16 September lalu iaitu Minggu Ke-24, rekod kemajuan penanaman mencatatkan peringkat pratepuan mencapai 100 peratus, penyediaan tanah 99 peratus dan peringkat tanam 98.4 peratus, manakala kadar tuai mencapai 9.3 peratus.
Abdul Rashid berkata, keadaan ketika ini menunjukkan hasil padi masih belum memberangsangkan dengan trend penurunan hasil turut dikesan dalam tempoh empat musim terdahulu.
“Keadaan ini semakin memberi tekanan kepada pesawah apabila kos pengeluaran pula meningkat, sekali gus mengecilkan margin keuntungan mereka.
“Bila kos meningkat tetapi hasil kurang, margin keuntungan akan menjadi nipis dan mungkin menyebabkan pesawah mengalami kerugian. Ini yang membelenggu pesawah kerana pendapatan mereka terjejas sedangkan kos yang perlu ditanggung semakin meningkat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut menerima aduan pesawah berhubung isu potongan padi yang didakwa berlaku lebih daripada sekali iaitu di pusat belian sebelum dikenakan potongan lain apabila padi dihantar ke kilang.
“Terdapat kes padi dikenakan potongan 20 peratus di pusat belian, namun apabila dihantar ke kilang, potongan dibuat pula sehingga 23 atau 24 peratus.
“Perbezaan ini menimbulkan persoalan dalam kalangan pesawah yang mahu penjelasan mengenai mekanisme penentuan kadar potongan. Kalau di pusat belian sudah potong 20 peratus, kemudian di kilang potong pula 24 peratus, ada tambahan empat peratus di situ.
“Setiap satu peratus mewakili kira-kira RM20 bagi setiap tan, jadi tambahan empat peratus itu bermakna pesawah boleh kehilangan kira-kira RM80 bagi setiap tan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




