Lelaki OKU berang abang sering minta duit dari keluarga, pukul hingga maut – Polis

Lelaki OKU berang abang sering minta duit dari keluarga, pukul hingga maut – Polis

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental memukul abangnya dengan objek tumpul sehingga mati, kerana tidak berpuas hati lelaki itu sering meminta wang daripada ahli keluarga.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata dalam kejadian di Kampung Banggol Tasik, Bukit Payung, di sini, semalam, suspek berusia 42 tahun dipercayai sudah lama tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa, yang mempunyai rekod kes dadah.

Katanya, abang suspek berusia 43 tahun dikatakan sering meminta wang daripada keluarga sehingga menyebabkannya marah.

“Perasaan marah itu mungkin sudah lama dipendam suspek sebelum dia mengambil tindakan berkenaan, namun motif sebenar masih disiasat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.

Mohd Khairi berkata, polis menerima maklumat berhubung pergaduhan di sebuah rumah dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa cedera parah selepas dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, adik perempuan mangsa berusia 36 tahun turut cedera ketika cuba menghalang suspek, dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana luka di belakang kepala, patah ibu jari kanan serta cedera ringan pada limpa sebelah kiri.

“Suspek berjaya ditahan polis di tepi jalan Bandar Bukit Payung, Marang, selepas kejadian dan dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan mendapati, suspek menerima rawatan kerana masalah mental di HSNZ, dan dijangka menjalani rawatan susulan,

“Permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top