BATU PAHAT: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat, sebaliknya menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian seorang pelajar perempuan ditemukan maut di sebuah sekolah di Yong Peng, di sini petang semalam.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah menerima taklimat daripada polis, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat serta pihak sekolah mengenai kronologi kejadian serta tindakan yang sedang dijalankan.
“Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Ini termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan serta aspek kawalan keselamatan dan rondaan di sekolah. Syarikat kawalan keselamatan turut diminta memberikan kerjasama bagi semakan tersebut.
“Jika terdapat kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tindakan tegas akan diambil,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas melawat keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, di sini hari ini.
Tambah Fadhlina, KPM akan memberi kerjasama penuh kepada polis dan tidak akan mendahului siasatan pihak berkuasa.
“Sokongan kaunseling juga sedang diberikan kepada murid dan warga sekolah yang terkesan.
“Sementara itu, orang ramai diminta memberikan keluarga ruang dan hormati proses siasatan yang sedang berjalan. Kita mahu kebenaran diperoleh berdasarkan fakta dan bukan spekulasi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditemukan maut di dewan sebuah sekolah di Yong Peng, di sini petang semalam dipercayai dibunuh.
Manakala Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad memaklumkan pihaknya telah menahan reman seorang remaja lelaki berusia 16 tahun selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-UTUSAN




